GAYA HIDUP

Pencalonan Pengarah Terbaik FFM33 Pengiktirafan Usaha Keras Pasukan - Sabri Yunus

04/12/2024 11:22 AM

KUALA LUMPUR, 4 Dis (Bernama) -- Pelawak, pelakon dan kini turut bergelar pengarah, Sabri Yunus menganggap pencalonannya dalam Top 5 kategori Pengarah Terbaik pada Festival Filem Malaysia ke-33 (FFM33)  sebagai satu pengiktirafan kepada usaha keras seluruh pasukan produksi filem Duan Nago Bogho.

Katanya, sokongan dan kerjasama setiap ahli pasukan merupakan kunci kejayaan filem itu. 

“Saya amat bersyukur dan berterima kasih kepada seluruh pasukan produksi yang sudah bekerja keras dan menunjukkan dedikasi luar biasa dalam menjayakan Duan Nago Bogho. 

“Filem ini bukan hasil kerja seorang individu, tetapi usaha bersama yang membabitkan kolaborasi, komitmen dan kreativiti semua ahli pasukan,” katanya dalam kenyataan.

pic-2

Sabri turut  menganggap pencalonannya itu sebagai satu pencapaian besar dalam perjalanan kariernya kerana beliau masih mentah dalam bidang pengarahan filem. 

Artis serba boleh berusia 63 tahun ini turut memuji kemampuan pengarah muda  masa kini dalam menghasilkan filem dan yakin golongan itu berupaya mencipta karya cemerlang yang bukan sahaja dapat menarik penonton tetapi juga memberikan impak mendalam kepada masyarakat.  

“Marilah kita bersama-sama mewujudkan ekosistem perfileman yang segar dan berinovasi, di mana bakat-bakat muda boleh muncul dengan lebih berani dan yakin. 

"Melalui upaya kolektif ini, saya yakin kita akan dapat mencipta karya-karya yang menginspirasi, mencabar minda dan membawa mesej yang bermakna kepada penonton, seterusnya membentuk masa depan industri perfileman yang lebih cerah dan dinamik,” katanya. 

Bagi merebut anugerah itu, Sabri bersaing dengan  Nik Amir Mustapha (Imaginur), Syafiq Yusof (Sheriff), Tunku Mona Riza (Rain Town) dan Nizam Razak (Mechamato Movie).

-- BERNAMA


 

© 2024 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy