EKONOMI

NORTHPORT PEROLEH EMPAT KREN DERMAGA DARIPADA SHANGHAI ZHENHUA

16/12/2024 07:52 PM

KUALA LUMPUR, 16 Dis (Bernama) -- Northport (Malaysia) Bhd (Northport) akan memperoleh empat unit "Super Post Panamax Container Handling Ship-To-Shore Gantry Crane" (kren dermaga) daripada Shanghai Zhenhua Heavy Industries Co Ltd (ZPMC).

"Dua daripada kren dermaga baharu ini akan mempunyai jangkauan 24 kontena, keupayaan lif berkembar dan kapasiti mengangkat 65 tan, menambah kren sedia ada milik Northport dalam mengendalikan kapal kontena ultra besar (ULCV).

"Dua lagi kren dermaga baharu mempunyai capaian 18 kontena, keupayaan lif berkembar dan kapasiti mengangkat sebanyak 55 tan.

"Pengeluaran oleh ZPMC bakal bermula pada Disember 2024 dengan penyerahan kepada Northport dijangka pada suku kedua 2026," katanya dalam satu kenyataan.

Northport berkata pemerolehan kren dermaga baharu itu akan melengkapkan usaha menaik taraf Dermaga 9 Northport yang dijangka siap pada suku pertama 2026.

Perjanjian ditandatangani oleh Ketua Pegawai Eksekutif Northport Fakhrul Azhar Tajudin dan Presiden ZPMC Zhu Xiaohuai pada 16 Dis.

ZPMC adalah pengeluar peralatan berat yang berpangkalan di Shanghai, China dan produknya digunakan di 108 negara dan wilayah, disokong oleh lapan hab serantau dan 28 pejabat di luar negara.

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy