AM

MUSA MENJUNJUNG KASIH KEPADA AGONG ATAS PELANTIKAN SEBAGAI TYT SABAH KE-11

17/12/2024 12:05 PM

KUALA LUMPUR, 17 Dis (Bernama) -- Tun Musa Aman hari ini menjunjung kasih kepada Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim atas perkenan mengurniakan Surat Cara Pelantikan sebagai Yang Dipertua Negeri Sabah ke-11 pada istiadat di Istana Negara, hari ini. 

Menerusi hantaran di Facebook, bekas Ketua Menteri Sabah itu turut menzahirkan kesyukuran atas pelantikan tersebut dan mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim serta Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor. 

Musa, 73, dilantik sebagai Yang Dipertua Negeri Sabah mengikut Perkara 1 Perlembagaan Negeri Sabah, bagi tempoh empat tahun bermula 1 Jan 2025 hingga 31 Dis 2028.

Pelantikan Musa adalah bagi menggantikan Tun Juhar Mahiruddin yang akan menamatkan tempoh perkhidmatan pada 31 Dis ini, selepas menyandang jawatan itu selama empat penggal bermula 1 Jan 2011. 

Pada istiadat sama, Musa turut dikurniakan darjah kebesaran Seri Maharaja Mangku Negara yang membawa gelaran Tun. 

Sementara itu, Hajiji turut mengucapkan tahniah kepada Musa atas perlantikan tersebut dan berharap Musa akan dapat memberi khidmat bakti dalam membangunkan Sabah.

Ketika ditemui selepas istiadat berkenaan, Hajiji turut mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan terhadap Juhar atas khidmat bakti sebagai Yang Dipertua Negeri Sabah selama 14 tahun.

"Penghargaan yang setinggi-tingginya kepada Tun Juhar atas khidmat bakti sebagai Yang Dipertua Negeri Sabah yang paling lama berkhidmat di Sabah selama 14 tahun.

"Dengan demikian, tentu bakti, jasa Tun (Juhar) begitu besar kepada rakyat dan saya bagi pihak kerajaan serta rakyat Sabah mengucapkan setinggi penghargaan dan terima kasih kepada Tun Juhar," katanya.

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy