AM

I HOPE TO CONTINUE SERVICE TO SABAH AND THE PEOPLE - TUN MUSA AMAN

17/12/2024 10:16 PM

KOTA KINABALU, 17 Dis (Bernama) -- Tun Musa Aman ingin terus menabur khidmat bakti kepada Sabah dan rakyatnya atas kapasiti beliau sebagai Yang Dipertua Negeri ke-11, yang berkuat kuasa pada 1 Jan 2025.

Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim kerana telah memperkenankan pelantikan itu.

"Ini merupakan satu penghormatan yang besar kerana YDPA (Sultan Ibrahim) telah mengamanahkan saya dengan jawatan sepenting ini dan tanggungjawab berat yang perlu dipikul," menurutnya dalam kenyataan di sini malam ini.

Musa juga mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor atas keyakinan mereka yang mengesyorkan supaya beliau dilantik ke jawatan berkenaan.

Terdahulu, Sultan Ibrahim berkenan mengurniakan surat cara pelantikan kepada Musa dalam satu istiadat di Balairung Kecil, Istana Negara, Kuala Lumpur.

Musa, 73, dilantik sebagai Yang Dipertua Negeri mengikut Perkara 1 Perlembagaan Negeri Sabah bagi tempoh empat tahun dari 1 Jan 2025 hingga 31 Dis 2028.

Pelantikan Ketua Menteri Sabah ke-14 itu adalah bagi menggantikan Tun Juhar Mahiruddin yang akan menamatkan tempoh perkhidmatan pada 31 Dis ini selepas menyandang jawatan tersebut selama empat penggal bermula 1 Jan 2011.

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy