GAYA HIDUP

"Underwater Santa'' Ceriakan Perayaan Hari Krismas

18/12/2024 03:26 PM

Oleh Nurhafizah Tan

KUALA LUMPUR, 18 Dis (Bernama) -- Menyelam bersama-sama dengan jerung dan ikan pari sambil memakai kostum Santa Claus mungkin kedengaran luar biasa, namun itulah yang dilakukan penyelam di Aquaria KLCC bagi menceriakan pengunjung bersempena dengan Krismas yang bakal disambut 25 Dis ini. 

Di sebalik kostum Santa Claus itu, penyelam profesional Mohd Salwa Mustaffa, 39, antara yang menggalas tanggungjawab memainkan peranan “Underwater Santa ” bagi menghiburkan pengunjung, terutama kanak-kanak sepanjang musim perayaan tersebut.

Menurut penyelam berpengalaman lebih 17 tahun itu, melakukan selaman dengan kostum Santa Claus yang diperbuat daripada material baldu dan bulu sintetik atau faux fur,  bukan tugas mudah kerana pakaian tersebut akan menjadi lebih berat apabila berada di dalam air, sekali gus menyukarkan pergerakan. 

pic-2

"Kostum itu saya akan pakai atas sut menyelam, jadi dua lapislah. Semasa sesi memberi makan ikan, saya hanya duduk di satu tempat dan elakkan bergerak jauh, ini penting untuk memastikan keselamatan dan keselesaan,” katanya ketika ditemui Bernama.

Aksi lelaki kelahiran Besut, Terengganu itu berenang  ke dasar akuarium sedalam empat meter sambil  memberi makanan kepada  5,000 ekor haiwan darat dan akuatik  di akuarium seluas 60,000 kaki persegi tersebut biasanya mengambil masa kira-kira satu jam. 

Mohd Salwa yang juga warga kerja Aquaria KLCC sejak sembilan tahun lalu, berkata reaksi kanak-kanak yang gembira dan teruja apabila melihat kemunculannya menjadi motivasi utama untuk dia kekal positif dalam memberikan persembahan terbaik kepada pengunjung.

pic-3

“Ramai kanak-kanak tidak pernah melihat Santa Claus di dalam air. Jadi, saya gunakan cara mudah untuk berinteraksi seperti melambai tangan dan membuat bentuk 'love' dalam air. Mereka sangat teruja dan gembira melihat aksi itu.

"Bagi hidupan laut pula, sebaik sahaja saya pegang makanan, mereka akan datang mengerumuni saya seperti biasa. Ikan-ikan ini sudah kenal dan selesa dengan kami,” katanya.

Antara pengalaman paling lucu bagi bapa kepada empat anak ini semasa mengenakan kostum Santa Claus ialah apabila “janggut” masuk ke dalam mulut. 

pic-4

“Janggut itu kadang-kadang masuk ke dalam mulut bila pakai regulator oksigen. Rasa pelik dan tidak selesa, tapi lama-kelamaan sudah terbiasa,” katanya sambil ketawa kecil.

Menurut Mohd Salwa lagi, tradisi memakai kostum bersempena dengan perayaan dilakukan pada setiap sambutan, baik Hari Raya Aidilfitri, Tahun Baharu Cina ataupun Hari Kebangsaan sebagai simol perpaduan masyarakat berbilang kaum di Malaysia.

“Kalau hari raya, kami pakai baju Melayu, manakala Tahun Baharu Cina ada tarian singa dalam air. Hari Kebangsaan pula kami bawa bendera Malaysia. Ini cara kami raikan semua perayaan bersama-sama.

“Kita satu Malaysia, tidak kira kaum atau agama. Walaupun saya tidak meraikan Krismas, saya tetap berbangga dapat memainkan peranan sebagai Santa Claus dalam air untuk menggembirakan semua pengunjung,” katanya.

Persembahan “Santa Feeding Underwater” di Aquaria KLCC berlangsung setiap hari pada 12 tengah hari selama sejam, hingga 25 Dis ini.

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy