KUALA LUMPUR, 19 Dis (Bernama) -- Pasaran getah tempatan ditutup bercampur-campur pada Khamis di tengah-tengah aliran menurun di pasaran getah serantau, kata peniaga.
Beliau berkata sentimen pasaran juga dipengaruhi oleh penurunan harga minyak mentah selepas Rizab Persekutuan (Fed) Amerika Syarikat (AS) mengunjurkan penurunan kadar faedah yang lebih perlahan pada 2025.
“Harga minyak merosot selepas Fed memberi isyarat ia akan memperlahankan penurunan kadar faedahnya, yang berpotensi memberi kesan terhadap permintaan bahan api,” katanya.
Fed menurunkan kadar faedah penanda arasnya kepada julat 4.25 peratus-4.50 peratus dan bank pusat itu membayangkan kemajuan penurunan kadar yang perlahan sehingga akhir 2025.
Sementara itu, menurut Lembaga Getah Malaysia (LGM), harga Standard Malaysian Rubber 20 (SMR 20) susut 2.5 sen kepada 871.0 sen sekilogram, manakala lateks pukal meningkat 2.5 sen kepada 716.0 sen sekilogram.
Pada 5 petang, harga SMR 20 berada pada 865.0 sen sekilogram, manakala lateks pukal pada 719.0 sen sekilogram.
-- BERNAMA