GAYA HIDUP

Sundang: Senjata Tradisional Simbol Darjat Dan Kuasa Alam Melayu

23/12/2024 11:27 AM

Oleh Fadzlina Abu Bakar Sidek

TAIPING, 23  Dis (Bernama) -- Sebut sahaja keris, hampir semua orang tahu bahawa alat itu merupakan senjata ampuh dan simbol kekuatan diri orang Melayu lama, namun bagaimana pula dengan sundang?

Tergolong dalam keluarga besar keris, senjata tradisional ini turut digunakan oleh orang Melayu di Tanah Melayu, Kepulauan Sulu serta Selatan Filipina.

Yang membezakan senjata ini dengan keris tradisional Melayu ialah saiz, iaitu ketebalan dan ukuran bilah mata lebih panjang dan lebar seperti pedang serta cara sundang dipegang.   

Berdasarkan maklumat di Muzium Perak yang memetik sejarawan  Malaysia Tan Sri Abdul Mubin Sheppard, sundang berasal dari Sulawesi, Indonesia dan dibawa ke Semenanjung Tanah Melayu oleh orang Bugis pada abad ke-17 Masihi. 

Bergantung di mana senjata ini digunakan, sundang dipanggil dengan pelbagai nama dan memiliki ciri-ciri fizikal tersendiri yang membezakannya dari satu wilayah dengan wilayah lain.

pic-2

 

Menurut Pengarah Jabatan Muzium Perak Mohd Nasrulamiazam Mohd Nasir, fungsi sundang umumnya lebih kepada simbol darjat dan kuasa pemilik, terutama bagi golongan raja dan bangsawan.

"Sundang melambangkan darjat dan kuasa berdasarkan ciri-cirinya. Bagi golongan raja dan bangsawan, hulu sundang biasanya daripada tanduk atau gading yang disaluti emas atau perak dan ragam hias lebih mewah. Sundang milik pahlawan pula lebih ringkas sebab digunakan semasa bertarung,” katanya kepada Bernama.

pic-3

Beliau berkata sundang ada beberapa kategori, iaitu untuk pahlawan seperti panglima perang, nakhoda atau laksamana dikenali sebagai Sundang Waad Laksamana, sementara bagi sultan dan golongan bangsawan pula dipanggil Sundang Darjat. 

“Sundang Waad Ulama pula digunakan oleh para guru dan ulama, manakala Sundang Adat dibuat untuk orang awam yang mempunyai kedudukan dalam masyarakat seperti ketua kampung atau ketua wilayah,” jelasnya.

Menurut beliau, kelebihan sundang sebagai senjata terletak pada ciri-ciri bilah yang cukup kuat untuk menetak dan melibas, sementara keris pula lebih kepada tujah dan tikam.

pic-4

 

Sebagaimana keris, sundang juga dianggap mempunyai unsur-unsur mistik oleh masyarakat Melayu Nusantara pada ketika itu yang dipengaruhi oleh kepercayaan lampau.

Ketibaan Islam menghakis kepercayaan itu secara umum, namun pandangan dunia tentang unsur mistik pada senjata tradisional berkenaan tetap wujud, antaranya dikatakan sebagai simbol “tuah” dalam urusan perniagaan, selain melindungi pemilik daripada serangan mengejut atau senyap-senyap dengan “memberikan getaran” pada sarung. 

Mohd Nasrulamiazam berkata menerusi Pameran Sundang: Seni dan Kuasa yang sedang berlangsung di Muzium Perak, Jabatan Muzium Malaysia berkongsi sejarah sundang di Nusantara.

“Sejak berlangsung pada 24 Jun lepas, kami menerima lebih 80,000 pengunjung, iaitu melebihi sasaran 30,000 orang.

"Kebanyakan pengunjung merupakan pelajar sekolah, penduduk setempat serta warga asing yang mahu mengetahui sejarah, asal usul dan kehebatan sundang," katanya.

Lebih 200 bilah sundang dipamerkan dengan 171 bilah merupakan koleksi pengumpul luar, manakala 30 bilah daripada koleksi Jabatan Muzium Malaysia dan Muzium Perak.

Pameran ini akan berakhir pada 31 Dis ini.

-- BERNAMA

 

 

 


FABS FABS NM

© 2024 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy