AM

KPDN Kelantan Rampas Pelbagai Barangan Seludup, Barangan Kawalan Bernilai Lebih RM6.8 Juta

23/12/2024 04:31 PM

KOTA BHARU, 23 Dis (Bernama) -- Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kelantan merampas pelbagai barangan seludup dan barangan kawalan dianggarkan bernilai lebih RM6.8 juta sejak awal Januari hingga semalam.

Pengarah KPDN Kelantan Azman Ismail berkata daripada jumlah itu, RM5 juta adalah rampasan pelbagai barangan seludup, manakala RM1.98 juta adalah rampasan barangan kawalan di seluruh negeri berkenaan.

Beliau berkata rampasan itu dilakukan menerusi 79,242 pemeriksaan melibatkan pelbagai operasi dan pemantauan yang menghasilkan 1,025 tindakan kes di bawah perundangan KPDN.

“Rampasan itu melibatkan barangan seperti gula, gadum, minyak petrol, minyak masak, dan lain-lain, termasuk kesalahan menjual barangan harga terkawal melebihi harga maksimum, gagal meletakkan tanda harga, dan sebagainya, di bawah Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011,” katanya.

“Daripada jumlah rampasan itu, sebanyak 210 tangkapan melibatkan 189 lelaki, 21 wanita termasuk 197 warganegara dan 13 bukan warganegara dengan denda bernilai RM150,000,” katanya kepada pemberita pada Program Walkabout Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Krismas 2024, di sini hari ini.

Sementara itu, Azman berkata pelaksanaan penguatkuasaan undang-undang menahan mana-mana individu menggunakan pangkalan haram untuk menyeberangi sempadan Malaysia-Thailand yang berkuat kuasa pada 1 Dis lepas berjaya memberi impak positif dalam mengekang aktiviti penyeludupan di negeri berkenaan.

"Berdasarkan pemerhatian saya, kegiatan penyeludupan masih berlaku namun ia tidak sekerap sebelum ini, dan menunjukkan perubahan ke arah lebih positif," katanya.

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy