SHAH ALAM, 23 Dis (Bernama) -- Universiti Selangor (UNISEL) dan Kolej Dar al-Hikmah (KDH) hari ini memeterai Memorandum Perjanjian (MoA) bagi menjalin kerjasama menawarkan kursus Pengajian MADANI iaitu program pascasiswazah baharu yang dijangka bermula 2025.
Perjanjian itu ditandatangani oleh Presiden dan Naib Canselor UNISEL Prof Datuk Dr Mohammad Redzuan Othman dan Presiden KDH Datuk Dr Muhammad Nur Manuty, disaksikan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dr Zulkifli Hasan pada majlis di UNISEL Kampus Shah Alam di sini.
Dalam ucapannya, Zulkfili berkata program Pengajian MADANI akan menjadi satu konsep atau gagasan untuk pendidikan, khususnya berbentuk kepimpinan dari segi pemikiran secara menyeluruh.
“Sebenarnya realiti hari ini, kita lihat perkembangan positif dengan ramai aktivis, penggiat dan pelaksana menolong dan membuat kebaikan serta menyebarkan rahmah kepada seluruh alam.
“Namun, kita kekukarangan dan ketinggalan (aspek) iaitu ‘thought of leadership’ iaitu kepimpinan dari aspek pemikiran. Jadi, pelancaran program ini tepat pada waktunya dan kita ingin melahirkan lebih ramai ‘thought of leadership’ serta korpus ilmu baharu,” katanya.
Sementara itu, Mohammad Redzuan berkata untuk peringkat Sarjana, tempoh pengajian adalah minimum setahun manakala Doktor Falsafah selama tiga tahun mengikut struktur ditetapkan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dan akan dilaksanakan secara dalam talian.
Beliau berkata bilangan pelajar serta sukatan pelajaran akan ditentukan selepas sesi muzakarah pada Januari.
-- BERNAMA