AM

Hotel Tiga Bintang Di Pulau Poh, Tasik Kenyir Beroperasi Suku Kedua 2025

24/12/2024 04:36 PM

KUALA BERANG, 24 Dis (Bernama) -- Hotel tiga bintang di Pulau Poh, Kenyir Geopark di sini yang beroperasi pada suku kedua tahun depan dijangka dapat merancakkan lagi industri pelacongan di Terengganu.

Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pembangunan) Datuk Tun Ahmad Faisal Tun Abdul Razak berkata hotel lapan tingkat dengan kapasiti 150 bilik itu mula dibina pada 2017 melibatkan kos RM97.4 juta dan akan dikendalikan anak syarikat kerajaan negeri, Kumpulan Terengganu Inc. 

Beliau berkata hotel belum diberi nama itu direka dengan elemen mesra alam bagi memelihara alam semula jadi Tasik Kenyir serta dilengkapi pelbagai kemudahan termasuk dewan konvensyen, restoran, kolam renang dan taman permainan kanak-kanak.

“Hotel ini diharap mampu menjadi pemangkin kepada pembangunan pelancongan di kawasan Kenyir Geopark, sekali gus membantu meningkatkan taraf hidup ekonomi masyarakat setempat,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Hotel Di Pulau Poh, Kenyir Geopark, di sini hari ini.

Tun Ahmad Faisal yang juga Pengarah Unit Perancang Ekonomi Negeri Terengganu berkata sebanyak 360,240 pelancong ke Kenyir Geopark setakat November tahun ini berbanding 218,157 tahun lepas.

Hotel di Pulau Poh adalah sebahagian daripada pelan pembangunan Zon Bebas Cukai Tasik Kenyir dan turut dilengkapi dengan kemudahan lain seperti jeti kargo dan jambatan ikonik yang telah dibuka kepada orang ramai.

Pembinaan dan pengoperasian hotel itu terpaksa ditangguhkan beberapa kali susulan pelbagai kekangan termasuk penularan COVID-19.

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy