KUALA LUMPUR, 25 Dis (Bernama) -- Hujan berterusan tahap waspada dijangka melanda beberapa bahagian di Sabah selama tiga hari mulai Sabtu ini, demikian menurut Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia).
MetMalaysia menerusi amaran yang dikeluarkan pada 1 tengah hari ini, memaklumkan kawasan terlibat di Sabah termasuk Pedalaman (Tambunan), Pantai Barat, Tawau (Lahad Datu), Sandakan (Telupid, Kinabatangan, Beluran dan Sandakan) serta Kudat.
Sementara itu, cuaca sama dijangka melanda Kelantan melibatkan Tumpat, Pasir Mas, Kota Bharu, Jeli, Tanah Merah, Bachok, Machang dan Pasir Puteh selama tiga hari bermula 29 Dis ini.
Turut diramal mengalami cuaca sama adalah seluruh negeri Terengganu.
-- BERNAMA