KUALA LUMPUR, 25 Dis (Bernama) -- Harga runcit RON95 kekal pada RM2.05 seliter, manakala harga RON97 meningkat tiga sen seliter daripada RM3.22 kepada RM3.25 seliter bagi tempoh 26 Dis hingga 1 Jan 2025.
Kementerian Kewangan (MOF) dalam kenyataan hari ini memaklumkan harga runcit diesel di Semenanjung Malaysia juga kekal pada RM2.95 seliter, manakala di Sabah, Sarawak dan Labuan, harga akan kekal pada RM2.15 seliter dalam tempoh yang sama.
MOF memaklumkan harga itu ditetapkan berdasarkan harga runcit mingguan produk petroleum menggunakan formula Mekanisme Harga Automatik (APM).
“Kerajaan akan terus memantau trend harga minyak mentah dunia dan mengambil langkah bersesuaian bagi memastikan kebajikan serta kesejahteraan rakyat terpelihara,” menurut kenyataan itu.
-- BERNAMA