AM

Lebih 70 Peratus Tiket Hari Pertama Tren MySawasdee Berjaya Dijual

29/12/2024 11:46 AM

BUTTERWORTH, 29 Dis (Bernama) -- Perkhidmatan khas tren MySawasdee Edisi Penang dari Stesen Butterworth-Hat Yai-Butterworth mendapat permintaan tinggi dengan lebih 70 peratus tiket berjaya dijual pada hari pertama tren itu beroperasi.

Ketua Tugas-Tugas Khas (Hal Ehwal Antarabangsa) Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) Roshidi Yahaya berkata 360 tempat duduk ditawarkan bagi setiap perjalanan yang beroperasi sebagai percubaan laluan hingga 5 Jan depan untuk menilai permintaan agar dapat dikembangkan ke beberapa lokasi tumpuan pada masa depan.

"Sambutan orang ramai setakat ini sangat menggalakkan. Tren ini berlepas dari Butterworth pada 7.40 pagi dan dijangka tiba di Hat Yai sekitar 12.05 tengah hari waktu Thailand," katanya kepada pemberita selepas melepaskan tren khas pertama itu di Stesen Butterworth di sini hari ini.

Beliau berkata tren khas itu beroperasi setiap hari yang menghubungkan beberapa stesen utama termasuk Bukit Mertajam, Sungai Petani, Alor Setar, Arau dan Padang Besar dengan tambang sehala pada harga RM45.

Roshidi berkata laluan baharu itu memberi peluang kepada penduduk di utara Semenanjung Malaysia dan pelancong dari Thailand untuk menikmati perjalanan yang selesa tanpa perlu menukar tren.

Beliau berkata pada masa sama, KTMB menjangkakan peningkatan kemasukan pelancong Thailand ke Malaysia yang akan memberi manfaat kepada ekonomi penduduk setempat dan negara.

Seorang penumpang Tunku Intan Nadiah Tunku Mohammad Nazarin, 30, berkata dia dan rakannya Shyahirah Abdul Salim, 31, mengambil peluang menggunakan perkhidmatan MySawasdee Edisi Penang untuk bercuti di Hat Yai bagi merasai pengalaman menggunakan tren berbanding memandu sendiri sebelum ini.

"Dulu masa ada tren KTMB ke Bangkok, saya pernah beberapa kali naik dan itu antara sebab saya memilih tren MySawasdee hari ini selain hendak cuba perkhidmatan baharu," katanya yang merupakan penjawat awam.

Seorang warga emas, Sunny Ewe, 74, pula berharap agar perkhidmatan itu dapat diteruskan pada masa hadapan kerana memudahkan orang ramai terutama golongan berusia sepertinya kerana tidak perlu memandu ke Hat Yai.

"Selalu saya memandu ke sana dan hari ini saya dan kawan cuba naik tren pula, nampak lebih mudah sebab terus ke Hat Yai dan tidak perlu lagi tukar tren di Padang Besar, nampak tren pun bagus dan selesa," katanya.

Pegawai bank Azhani Ariffin, 36, dari Sitiawan, Perak berkata dia memilih menggunakan perkhidmatan khas ini kerana anak-anaknya gemar menaiki tren, justeru tidak mahu melepaskan peluang walaupun perlu memandu ke sini awal pagi bagi menaiki tren berkenaan bersama lima ahli keluarga.

“Sebelum ini, kami naik tren dari Batu Gajah, Perak sampai ke Padang Besar sebelum tukar tren di situ untuk ke Hat Yai, macam susah sikit namun dengan MySawasdee ini kami boleh terus ke Hat Yai dan yang paling penting anak-anak suka kerana mereka sebelum ini pernah naik (tren) ke Bangkok," katanya.

Tiket-tiket untuk tren khas MySawasdee yang mengambil lebih 5 jam perjalanan ke Hat Yai itu boleh didapati melalui aplikasi KTMB Mobile (KITS), mesin kios atau laman sesawang rasmi di www.ktmb.com.my.

-- BERNAMA

 

 

© 2024 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy