KUALA LUMPUR, 30 Dis (Bernama) -- Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Kuala Lumpur melumpuhkan satu sindiket parkir haram yang beroperasi di sekitar Bukit Bintang dengan penahanan 17 lelaki warga asing dalam satu operasi yang dilakukan tengah hari tadi.
Pengarahnya Wan Mohammed Saupee Wan Yusoff dalam kenyataan memaklumkan, serbuan dijalankan pada 1 tengah hari dengan disertai enam pegawai dan anggota Unit Operasi Khas JIM Kuala Lumpur.
Beliau berkata hasil operasi hampir sejam itu, JIM menahan 17 lelaki warga asing yang berumur dalam lingkungan 30-an yang dipercayai mengutip wang parkir secara haram di dua lokasi di Bukit Bintang.
“Di lokasi pertama, JIM menahan dua lelaki Bangladesh dan sembilan lelaki Myanmar, manakala di lokasi kedua seramai enam lelaki Myanmar telah ditahan,” katanya dalam kenyataan itu hari ini.
Beliau berkata operasi itu dilakukan kurang daripada 24 jam selepas pihaknya mengesan satu video berdurasi 1 minit 39 saat yang dimuat naik oleh akaun ‘SKUAD 4NTI PATI’ di Facebook, yang memaparkan beberapa warga asing menjadi ‘ulat’ parkir di lokasi serbuan.
Wan Mohammed Saupee pada masa yang sama berharap orang ramai yang mempunyai maklumat berkenaan aktiviti sedemikian supaya dapat menyalurkan maklumat kepada JIM untuk tindakan lanjut.
-- BERNAMA