JENAYAH & MAHKAMAH

Bayi 19 Hari Maut, Kakak Koma, Kereta Dipandu Ibu Terbabas

30/12/2024 11:13 PM

SEREMBAN, 30 Dis (Bernama) -- Seorang bayi lelaki berusia 19 hari meninggal dunia di Hospital Tuanku Ja’afar (HTJ) di sini manakala kakaknya berusia sembilan bulan koma selepas terbabit dalam kemalangan di Kilometer 3.8 Jalan Kampung Batu-Inas, Rembau, dekat sini hari ini.

Timbalan Ketua Polis Daerah Rembau DSP Azmi Ali berkata kemalangan yang berlaku kira-kira jam 7.50 pagi itu mengakibatkan bayi berkenaan Muhammad Aryan Qhalish Muhammad Adzril yang merupakan penumpang hadapan, meninggal dunia selepas bertarung nyawa lebih tujuh jam akibat pendarahan di otak.

"Kakaknya, Putri Eshal, yang berada di tempat duduk belakang, kini masih koma akibat pendarahan di otak dan sedang menerima rawatan di hospital yang sama," katanya.

Menurutnya ketika kejadian, ibu mangsa yang berusia 39 tahun sedang dalam perjalanan bersama lima orang anaknya, termasuk tiga anak perempuan lain berusia 11 tahun dan pasangan kembar berusia 10 tahun dari arah Jalan Inas menghala ke Kampung Batu, Rembau.

"Sebaik tiba di lokasi kejadian, kereta jenis Perodua Alza yang dipandu wanita itu hilang kawalan lalu terbabas ke bahu jalan sebelah kanan. Keadaan jalan di kawasan itu berselekoh dan mempunyai cerun," katanya dalam kenyataan malam ini.

Beliau memaklumkan ibu mangsa mengalami kecederaan di bahu kiri manakala kesemua anak yang cedera telah dikejarkan ke Hospital Rembau untuk menerima rawatan lanjut.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy