EKONOMI

MEF Lantik Sheikh Farouk Sebagai Ketua Eksekutif Berkuat Kuasa 1 Januari 2025

30/12/2024 10:27 PM

KUALA LUMPUR, 30 Dis (Bernama) -- Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF) melantik Sheikh Farouk Sheik Mohamed sebagai ketua eksekutifnya berkuat kuasa 1 Jan, 2025.

MEF dalam satu kenyataan hari ini berkata dengan pengalaman lebih 20 tahun dalam kepimpinan korporat, kewangan dan pengurusan perniagaan strategik, Sheikh Farouk berada pada kedudukan yang baik untuk memimpin MEF ke arah masa depan yang dinamik.

"Sheikh Farouk akan mengetuai usaha MEF dalam membela kepentingan majikan, mendorong dasar buruh progresif dan menggalakkan kerjasama dengan pihak berkepentingan utama untuk menyokong pertumbuhan ekonomi Malaysia," katanya.

Sementara itu, Presiden MEF Datuk Dr Syed Hussain Husman memuji kelayakan Sheikh Farouk dan berkata pengalaman kepimpinannya yang luas, perspektif global dan kecerdasan strategik menjadikannya pilihan yang ideal untuk memimpin persekutuan dalam tempoh transformasi ini.

"Kami teruja untuk mengalu-alukan Sheikh Farouk ke MEF dan yakin bahawa kepimpinannya akan mengangkat peranan MEF sebagai suara yang dipercayai bagi majikan di Malaysia," katanya.

Sementara itu, persekutuan juga mengumumkan peralihan Datuk Shamsuddin Bardan yang telah mencurahkan lebih 40 tahun perkhidmatan kepada MEF termasuk 25 tahun sebagai pengarah eksekutif ke dalam jawatan penasihat.

Beliau akan terus memberikan nasihat strategik dan bimbingan.

Dalam pada itu, Shamsuddin berkata, merupakan suatu penghormatan yang amat besar untuknya memimpin MEF dan menyumbang kepada ekonomi Malaysia.

“Saya teruja untuk terus berkhidmat dalam kapasiti penasihat ini dan menantikan untuk menyokong pertumbuhan serta kejayaan persekutuan pada masa hadapan," katanya sambil mengimbas kembali tempoh perkhidmatannya dalam MEF.

-- BERNAMA

 

 

 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy