SUKAN

LHM: Misi Pertahan Treble, TNb Waspada Ancaman Pencabar Baharu

02/01/2025 08:10 PM

KUALA LUMPUR, 2 Jan (Bernama) -- Pasukan Tenaga Nasional Berhad (TNB) berwaspada dengan ancaman pencabar baharu dalam misi mempertahankan gelaran ‘treble’ Liga Hoki Malaysia (LHM) tahun ini, selain cabaran musuh tradisi seperti Pasukan Hoki Terengganu (THT) dan Maybank.

Ketua jurulatih TNB Nor Saiful Zaini Nasruddin mengakui saingan LHM 2025 menjadi lebih mencabar dengan penyertaan wakil Australia, Territory Stringers dan kelab Liaoning dari China manakala kelab Matador yang bakal membuat penampilan sulung, berjaya mengikat lapan pemain kebangsaan Pakistan. 

Juara Piala Sumbangsih, liga dan Piala TNB tahun lepas itu akan membuka kempen menentang THT, yang merupakan naib juara dalam ketiga-tiga pertandingan itu, pada aksi Piala Sumbangsih Sabtu ini di Padang 2, Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil.

“Apabila turun dengan status treble, pastinya semua pasukan akan berusaha untuk kalahkan kita. Pemain juga harus faham bukan mudah untuk mengekalkan ketiga-tiga trofi ini, jadi perlu bersedia untuk atasi tekanan. 

“Barisan serangan kita memang mantap dan pertahanan pun bagus, tetapi banyak pasukan guna taktikal untuk perangkap TNB semasa serangan balas ketika lawan kita (musim lepas). Ini pun kita harus beri perhatian,” katanya ketika sidang media LHM di sini, hari ini. 

Beliau berkata cabaran sengit yang dijangka menerusi kehadiran pemain dan pasukan luar negara itu baik untuk ekosistem hoki Malaysia susulan pendedahan kepada skil berbeza. 

TNB tahun ini mengekalkan barisan pemain kebangsaan seperti Muhammad Marhan Jalil, Shello Selverius, Faiz Helmi Jali dan Norsyafiq Sumantri dengan pakar pukulan sudut dari Korea Selatan Jang Jong Hyun, 40, menjadi satu-satunya pemain import pasukan tersebut.

Nor Saiful Zaini berkata khidmat pemain tengah, Jong Hyun, amat penting buat pasukannya bagi menggerakkan bola dari barisan pertahanan serta hantaran panjang (long balls) yang banyak digunakan dalam hoki moden. 

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) Datuk Seri Anil Jeet Singh berkata pihaknya tidak menerima sebarang aduan daripada mana-mana pasukan mengenai jadual pertandingan LHM 2025.

Apabila ditanya mengenai rintihan pasukan mengharungi jadual padat dan kehilangan beberapa pemain untuk mewakili negara di Piala Dunia Dalam Dewan di Crotia awal bulan depan, beliau berkata pihaknya membuat jadual berpandukan kalendar Persekutuan Hoki Antarabangsa (FIH) dan perayaan seperti bulan Ramadan dan hari raya.

“Sebanyak 30 aksi yang dimainkan di Padang 2 Stadium Hoki Nasional akan disiarkan secara langsung di saluran Radio Televisyen Malaysia (RTM). Hanya beberapa aksi akan dimainkan di Padang 1 kerana beberapa faktor termasuk penganjuran konsert.

“Kita telah membuat keputusan bahawa sumbangan aksi Piala Sumbangsih kali ini akan disalurkan kepada mangsa banjir dengan nilainya akan diumumkan kemudian,” katanya. 

-- BERNAMA


 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy