Oleh Kisho Kumari Sucedaram
KUALA LUMPUR, 31 Dis (Bernama) — Beberapa syarikat penerbangan berdepan cabaran yang dahsyat, mengubah penghujung tahun ini sebagai babak tragik bagi penerbangan global, menjadikan Disember yang suram selain meragut banyak nyawa.
Ini menunjukkan perbezaan ketara berbanding harapan untuk mengakhiri 2024 yang makmur.
Kejadian paling tragik adalah nahas pesawat Jeju Air pada 29 Dis, 2024 yang merosakkan rancangan dan harapan keluarga serta rakan-rakan bagi 179 orang yang berada di dalam pesawat malang itu ketika dalam perjalanan pulang dari Bangkok, Thailand.
Hanya dua anak kapal dilaporkan terselamat dari kemusnahan pesawat berkenaan.
Boeing 737-800 yang dipercayai mengalami kerosakan sistem gear pendaratan semasa mendarat, melakukan penerbangan antara Muan, Pulau Jeju dan Incheon, Seoul dalam tempoh 48 jam sebelumnya.
Walaupun masa pusing ganti (TAT) ditetapkan oleh syarikat penerbangan, prosedur tetap sama seperti yang dicadangkan oleh Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA).
Ia bermula dengan ketibaan, pemuatan, pemunggahan, melindungi dan mengeluarkan muatan serta memeriksa peranti muatan unit (ULD) untuk kerosakan dan seterusnya berlepas.
Jika siasatan mendedahkan kecuaian dalam penyelenggaraan, ini menimbulkan kebimbangan sama ada syarikat penerbangan kos rendah tersebut mengutamakan kecekapan operasi berbanding keselamatan penumpang, anggota kru dan pesawat.
Selepas itu, satu lagi penerbangan Jeju Air 7C101 terpaksa berpatah balik ke lapangan terbang tempat penerbangan itu berlepas pada Isnin disebabkan isu gear pendaratan, sehari selepas kerosakan serupa yang menyebabkan nahas penerbangan sewaktu mendarat, lapor agensi berita Yonhap seperti dipetik Xinhua.
Empat hari sebelum nahas di Lapangan Terbang Antarabangsa Muan ini, penerbangan Azerbaijan Airlines 8243 terhempas pada 25 Dis, 2024, mengorbankan 38 daripada 67 penumpang berhampiran Lapangan Terbang Aktau di Kazakhstan.
Pesawat Embraer ERJ-190AR yang melakukan penerbangan dari Baku ke Grozny menimbulkan spekulasi ia ditembak jatuh akibat serangan selepas lubang besar ditemukan pada ekor pesawat Azerbaijan Airlines tersebut.
Majlis Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO) menggesa supaya satu siasatan bebas dijalankan dengan semua negara yang terjejas dijemput untuk mengambil bahagian.
Selain daripada kejadian-kejadian ini, sebuah pesawat ringan milik Jazirah Aviation Club dilaporkan terhempas di pantai Ras Al Khaimah di Emiriah Arab Bersatu (UAE) pada Ahad, mengorbankan dua orang.
Pada 22 Dis, 2024, sebuah pesawat turboprop ATR-72 milik persendirian terhempas di Gramado, Brazil, mengorbankan sepuluh orang di dalam pesawat dan mencederakan 17 orang di darat.
Pada hari yang sama, sebuah pesawat kecil dilaporkan terhempas di kawasan terpencil di Wilayah Morobe, Papua New Guinea, mengorbankan lima orang di dalam pesawat.
Pada 17 Dis, 2024, penerbangan Kamaka Air 689 terhempas ke sebuah bangunan kosong berhampiran Lapangan Terbang Honolulu di Hawaii sejurus selepas berlepas, mengorbankan dua orang.
Sementara itu, pada 23 Dis, 2024, juruterbang sebuah pesawat ringan maut selepas terhempas ke dalam sebuah ladang berhampiran Lapangan Terbang Fife di Scotland, United Kingdom.
Pada 17 Dis, 2024 sebuah pesawat Bombardier BD-100-1A10 Challenger 300 terhempas berhampiran Lapangan Terbang San Fernando di Argentina, mengorbankan kedua-dua juruterbang.
Pada 20 Dis, 2024, pesawat Cessna yang terbang dari Porto Velho ke Manaus di Brazil hilang dan serpihan pesawatnya ditemukan di hutan hujan Amazon beberapa hari kemudian.
Kedua-dua orang di dalam pesawat berkenaan disahkan meninggal dunia.
Selain daripada nahas maut, bulan ini turut menyaksikan beberapa kejadian nahas penerbangan termasuk pesawat Boeing 737-800 KLM yang melakukan pendaratan cemas di Lapangan Terbang Sandefjord Torp di Norway selepas mengalami kegagalan hidraulik.
Selain itu, penerbangan Air Canada Express 2259 mengalami kegagalan gear pendaratan semasa tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Halifax Stanfield, kedua-duanya pada 28 Dis, 2024.
Kejadian tragik sepanjang bulan ini yang meragut lebih daripada 200 nyawa, sudah pasti mencetuskan penelitian lebih baik terhadap piawaian penerbangan global.
-- BERNAMA