KOTA BHARU, 31 Dis (Bernama) -- Cuaca cerah dan keadaan banjir mula surut di Tanah Merah, Kuala Krai dan Machang hari ini dimanfaatkan penduduk untuk membersihkan rumah dan premis terjejas akibat bencana itu.
Tinjauan Bernama mendapati penduduk mengambil peluang membersihkan lumpur dan membaiki dinding rumah, menjemur perabot dan perkakas manakala jemaah turut membersihkan masjid.
Antara kampung terkesan banjir pada Ahad lepas ialah Kampung Panglima Bayu dan Kampung Bendang Nyior di Tanah Merah, Kampung Petaling dan Kampung Keroh (Kuala Krai) serta Kampung Tengah (Machang).
Imam Masjid Haji Abdullah Mukim Panglima Bayu, Tanah Merah, Adli Ab Halim, 37, berkata air banjir yang deras dan mencecah paras pinggang menyebabkan lantai konkrit pekarangan masjid pecah, beberapa peralatan rosak selain kawasan itu dipenuhi sampah sarap.
“Paras air kali ini naik dua kali ganda berbanding gelombang pertama November lepas.
“Oleh kerana hari ini cuaca begitu baik, saya bersama-sama beberapa ahli jawatankuasa masjid mengambil peluang membersihkan sampah sarap dan mencuci dinding masjid ini,” katanya kepada Bernama hari ini.
Sementara itu, penduduk Kampung Petaling, Kuala Krai Mohd Hafis Hasan, 36, berkata cuaca cerah memberi kelegaan kepadanya kerana berpeluang membersihkan kawasan rumah.
“Alhamdulillah, saya dapat jemur perabot dan barangan rumah lain yang terjejas.
”Apabila laporan ramalan cuaca mengatakan Kelantan bebas hujan buat seketika, sudah cukup bermakna buat saya kerana dapat meluangkan masa membersihkan dinding yang dipenuhi lumpur,” katanya.
Abdul Somad Abdul Rahim, 43, yang tinggal di Kampung Tengah, Machang berkata walaupun cuaca cerah, dia tetap berwaspada kemungkinan banjir berulang.
“Rumah saya tiga kali dilanda banjir tahun ini, banyak barangan rosak dan tidak dapat digunakan semula.
”Cuaca cerah sedikit sebanyak membantu saya mencari barang-barang yang terselamat dan boleh dijemur. Rumah mungkin rosak, tapi hati kami tetap utuh untuk bangkit semula,” katanya.
-- BERNAMA