SUKAN

Zaidatul Optimis KOM Mampu Selesaikan Isu Rekod Kebangsaan Tidak Diiktiraf

04/01/2025 05:11 PM

KUALA LUMPUR, 4 Jan (Bernama) -- Ratu pecut negara Zaidatul Husniah Zulkifli optimis Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) mampu menyelesaikan isu rekod kebangsaan diciptanya yang masih belum mendapat pengiktirafan Olahraga Dunia (WA).

Atlet berusia 31 tahun itu berkata Pengarah Teknikal KOM Robert J Ballard telah memaklumkan kepadanya dan memberi jaminan perkara itu akan diselesaikan dalam tempoh 48 jam sejak semalam. 

Zaidatul berkata beliau hanya mengetahui tentang masalah itu menerusi beberapa media tempatan yang menghubungi semalam, sebelum Ballard menjelaskan kepada atlet kelahiran Kedah berkenaan masalah yang berlaku.

“KOM menerusi Ballard sudah menerangkan kepada saya tentang isu ini. Beliau menjelaskan ada beberapa masalah penyerahan dokumentasi sewaktu menghantar laporan kepada WA, tetapi Ballard memaklumkan KOM akan menyelesaikan perkara ini.

“Saya juga harap ia akan dapat diselesaikan, sebab saya tidak mahu peristiwa tujuh tahun lepas apabila rekod saya tidak sah berulang semula. Saya trauma, sebab saya sudah berusaha keras untuk pecahkan rekod ini,” katanya kepada Bernama hari ini.

Dalam pada itu, Zaidatul atau lebih mesra dipanggil Adeq berharap perkara itu tidak berulang lagi pada masa akan datang, supaya prestij kejohanan berkenaan tidak dipertikaikan oleh atlet yang mahu menyertainya. 

Oktober lepas, Zaidatul mencipta sensasi pada Kejohanan Olahraga Terbuka Perlis apabila memadam rekod berusia 31 tahun dalam acara 100 meter dengan melakukan catatan masa 11.49 saat (s), sekali gus memecahkan rekod G Shanti (11.50s) yang dilakukan di Kuala Lumpur pada 7 Mei 1993.

Bagaimanapun, terdapat masalah teknikal yang menuntut KOM menyelesaikan isu bacaan angin sebelum ia sah menjadi rekod kebangsaan rasmi.

Pada aksi di Stadium Tuanku Syed Putra itu, pingat perak dimenangi Nur Afrina Batrisyia Rizal dengan catatan masa 11.91s, diikuti Azreen Nabila Alias ketiga (12s).

Semalam media tempatan melaporkan Ballard berkata terdapat kesilapan daripada bahagian pentadbiran yang menyaksikan semua bacaan angin untuk acara pecut, lompat dan lari berpagar pada Terbuka Perlis, Oktober lepas, hilang daripada laporan keputusan di kejohanan berkenaan. 

Ballard berkata KOM ketika ini sedang berusaha mendapatkan semula bacaan angin untuk setiap acara terbabit dan data berkenaan akan dihantar kepada WA sebaik ia diperoleh.

Pada tahun 2017, Zaidatul pernah berdepan isu rekod kebangsaan yang diciptanya tidak diiktiraf oleh juri pertandingan kerana mendapat bantuan angin sebanyak 2.5 saat pada Kejohanan Olahraga AGN League 7 di Pretoria, Afrika Selatan. 

Zaidatul pada ketika itu melakukan catatan masa 11.36 saat yang dianggap sudah mengatasi rekod kebangsaan terdahulu milik Shanti.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy