PASIR MAS, 5 Jan (Bernama) -- Semangat penduduk Kampung Bendang Perol di Rantau Panjang yang terkenal dengan julukan "kampung banjir lambat surut' atau banjir termenung itu tidak pernah luntur meskipun saban tahun dilanda bencana berkenaan.
Penghulu Mukim Lubok Gong Syed Abu Bakar Syed Mat Nor berkata kejadian itu dianggap sebagai tanda pengiktirafan tidak rasmi terhadap cabaran luar biasa yang terpaksa dilalui penduduk yang berjuang “menentang” banjir sejak zaman-berzaman.
“Apabila itu berlaku, penduduk kampung terpaksa mendayung sejauh 200 meter, melintasi ladang kelapa sawit yang kini berubah wajah menjadi lautan kecil. Ia telah menjadi kebiasaan penduduk untuk menghadapi banjir yang kini dianggap rutin.
“Apabila air sudah naik separas dada di halaman rumah, itu petanda untuk penduduk kampung berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS),” katanya kepada Bernama hari ini.
Syed Abu Bakar berkata akses jalan darat ke kampung itu terputus ketika banjir melanda, namun penduduk di kampung tidak pernah gentar.
“Kampung ini bukan sekadar lokasi, ia adalah cerita manusia yang tak pernah menyerah kalah walau diuji berkali-kali,” katanya.
Sementara itu, Hasan Setapa, 59, seorang penduduk kampung itu berkata dia sudah biasa mengayuh perahu untuk keluar.
Beliau berkata sebaik air naik ke paras tertentu, dia segera berpindah untuk mengelak daripada berlaku kejadian tidak diingini.
“Perahu bukan sekadar alat pengangkutan, ia adalah simbol kelangsungan hidup komuniti kecil ini bahawa penduduk kampung mampu mengadaptasi kehidupan di tengah-tengah kemusnahan,” katanya.
Sementara itu, tinjauan Bernama hari ini mendapati, rumah-rumah kayu dan konkrit di Kampung Bendang Perol yang sering menjadi mangsa limpahan sungai dengan air mencecah paras lutut, merosakkan segala isi rumah termasuk perabot patah, perkakas elektrik rosak dan pakaian mereka musnah.
-- BERNAMA