JENAYAH & MAHKAMAH

Tiga Pembekal Masing-masing Didenda RM10,000 Miliki Barang Kawalan Tanpa Lesen

05/01/2025 04:53 PM

KOTA BHARU, 5 Jan (Bernama) -- Tiga pembekal minyak masak dan diesel masing-masing didenda RM10,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas mengaku bersalah memiliki barangan kawalan tanpa lesen sah pada 2023.

Hakim Zulkifli Abdullah menjatuhkan hukuman itu ke atas Zamri Mat Daud, 51, Muhammad Baharuddin Sukri, 31, dan Muhammad Affizan Fauzi, 30.

Pertuduhan dijalankan secara berasingan dengan Zamri didakwa memiliki barang kawalan iaitu 408 kilogram minyak masak dalam keadaan menimbulkan syak di Pengkalan Haram Paija, Pengkalan Kubor, Tumpat pada 7.30 pagi, 17 Jun 2023.

Sementara itu, Muhammad Baharuddin didakwa memiliki 1,000.26 liter diesel di tepi jalan lampu isyarat Pasar Raya Salamku Pasir Pekan, Jalan Pasir Pekan-Kutan, Tumpat pada 6.55 pagi, 16 Nov 2023 manakala Muhammad Affizan pula dituduh memiliki barangan sama sebanyak 1,328.535 liter di Lorong Maut, Kampung Neting, Pengkalan Kubor, Tumpat pada 8 malam 11 Nov 2023.

Ketiga-tiga mereka didakwa melakukan kesalahan di bawah Peraturan 3(1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974.

Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 22(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM1 juta atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pertuduhan dikendalikan Pegawai Pendakwa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Muhammadi Iman Masjuri dan Wan Mohd Razif Wan Ghazali manakala ketiga-tiga tertuduh diwakili peguam Muhammad Zulfaqar Al Basysyar Saharuddin dan Mohd Taufikrullah Rusli.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy