TAIPING, 11 Jan (Bernama) -- Mengugut syarikat tunda bagi mengelak proses timbangan berat apabila diarahkan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), antara taktik digunakan segelintir pengusaha lori yang dikesan menerusi Op Khas Lebih Muatan semalam.
Pengarah Kanan Penguatkuasaan Undang-Undang JPJ Muhammad Kifli Ma Hassan berkata dalam operasi yang dijalankan di beberapa lokasi, iaitu Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) Changkat Jering arah Utara, Gunung Semanggol, Manjung dan Seri Iskandar, taktik itu dilakukan bagi mengelakkan kenderaan mereka yang membawa lebih had muatan tidak ditunda untuk ditimbang.
"Mereka juga menggunakan teknologi peranti penentu kedudukan global (GPS) untuk mematikan enjin kenderaan di sesuatu kawasan sebelum tiba di lokasi pemeriksaan dijalankan bagi mengelak kenderaan diarah timbang di Stesen Penguatkuasa JPJ berhampiran.
"JPJ akan panggil trak penunda untuk bawa lori terbabit ke tempat timbangan dan di sinilah pemilik syarikat lori akan menelefon syarikat penunda ugut mereka untuk tidak tunda lori ke JPJ atau berhadapan dengan 'tindakan' mereka," katanya dalam sidang media di sini hari ini.
Muhammad Kifli berkata sikap pemilik syarikat lori ibarat samseng ini jelas cuba mengganggu penguatkuasaan dilakukan dan pihaknya akan mengambil tindakan tegas terhadap mereka yang terlibat.
"Bagi kesalahan enggan memberi kerjasama, kami akan membuat siasatan mengikut Seksyen 234(C) Akta Pengangkutan Awam Darat (APAD) 2010 kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas dan sekiranya didapati bersalah boleh dikenakan denda maksimum RM250,000.
"Kita juga akan ambil tindakan tegas dengan menghantar laporan kepada APAD agar lesen syarikat mereka digantung atau dibatalkan terhadap mana-mana pengusaha lori yang masih enggan memberi kerjasama," katanya.
Muhammad Kifli berkata dalam operasi yang bermula 5 pagi melibatkan 24 pegawai serta anggota, sebanyak sembilan lori diambil tindakan mengikut Seksyen 63(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan Seksyen 80 APAD 2010.
"Terdapat empat lori yang membawa muatan pasir akan dihadapkan ke mahkamah kerana membawa lebih muatan sepatutnya dan dua daripadanya disita kerana muatan melebihi 71 peratus.
"Satu lori dikenakan kompaun lebih muatan, seorang pemandu melarikan diri, mematikan GPS (satu) dan gagal hadir timbang (dua) serta kenderaan yang disita dibawa ke JPJ Cawangan Taiping untuk tindakan selanjutnya," katanya.
Beliau berkata JPJ akan meningkatkan tindakan penguatkuasaan terhadap kenderaan berat atau lori yang membawa muatan melebihi had dibenarkan sehingga menjadi punca kemalangan jalan raya, seperti yang diarahkan Kementerian Pengangkutan.
-- BERNAMA