SUKAN

Mental Belum Cukup Kuat Punca Tang Jie-Ee Wei Tersingkir - Nova

12/01/2025 11:21 AM

KUALA LUMPUR, 12 Jan (Bernama) -- Ketua jurulatih beregu campuran negara Nova Widianto mengakui tahap kekuatan mental gandingan utama negara, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei belum cukup konsisten sekali gus menyebabkan mereka tersingkir pada aksi separuh akhir Terbuka Malaysia 2025 semalam.

Beliau berkata sekiranya pasangan yang berada di ranking kelima dunia itu mahu pergi lebih jauh, mereka perlu segera mengatasi masalah berkenaan terutama ketika berdepan beregu campuran handalan dunia.

“Ini masalah lama, selepas mendahului, lawan kejar balik dan mental jadi kacau. Tahun lepas juga begitu, namun saya lihat masalah itu sudah mula diatasi tetapi tidak konsisten.

“Untuk lawan beregu hebat seperti China, mental kena lebih kuat dan mereka harus lebih (mempunyai) ketahanan,” katanya ketika ditemui pemberita di sini malam tadi.

Terdahulu, harapan Tang Jie-Ee Wei untuk mara ke perlawanan akhir Terbuka Malaysia 2025 tidak kesampaian apabila tumpas straight set kepada pasangan China, Feng Yang Zhe-Huang Dong Ping 21-19, 21-14.

Sementara itu, ketika diminta mengulas berkenaan satu lagi beregu negara yang tersingkir awal, Hoo Pang Ron-Cheng Su Yin, Nova berkata pasangan itu gagal mempamerkan permainan yang sebenar di kejohanan bertaraf Super 1,000 itu.

Bagaimanapun beliau berharap gandingan itu akan bangkit pada kejohanan seterusnya iaitu Terbuka India 2025 yang akan berlangsung di New Delhi dari 14 hingga 19 Jan ini.

“Saya nampak tahap permainan mereka sudah meningkat. Jadi saya harap jangan kerana kalah sekali, terus jadi tidak yakin,” katanya.

Pang Ron-Su Yin bakal bertemu Tang Jie-Ee Wei pada pusingan pertama Terbuka India.

--BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy