JENAYAH & MAHKAMAH

Mahkamah Benarkan Akauntan GISBH Diikat Jamin

13/01/2025 05:00 PM

SHAH ALAM, 13 Jan (Bernama) -- Mahkamah Tinggi di sini hari ini membenarkan seorang ahli GISBH Holdings Sdn Bhd (GISBH) Hamimah Yakub yang didakwa atas pertuduhan menjadi ahli kumpulan jenayah terancang diikat jamin RM40,000 dengan dua orang penjamin.

Hakim Datuk Seri Latifah Mohd Tahar dalam keputusannya berkata selain tiada bantahan daripada pihak pendakwa raya, permohonan itu juga dibenarkan mengambil kira pemohon seorang wanita yang tergolong di bawah kategori pengecualian termaktub di bawah Seksyen 13(2)(b) Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) (SOSMA) 2012. 

Selain itu, beliau berkata tiada keterangan dalam afidavit jawapan responden yang menunjukkan pemohon mempunyai risiko untuk melarikan diri atau mengganggu saksi-saksi sekiranya dibebaskan dengan jaminan.

“Mahkamah juga mengambil kira umur pemohon yang kini berusia 73 tahun dan ada mengemukakan bukti-bukti untuk menyokong masalah kesihatan dihadapinya. Maka, mahkamah membenarkan permohonan jamin dengan bersyarat,” katanya.

Hamimah yang juga akauntan GISBH adalah antara 22 individu ditahan di bawah SOSMA dan dituduh menjadi ahli kumpulan jenayah terancang di sebuah lokasi di Bandar Country Homes, Rawang pada Oktober 2020 hingga 11 Sept lepas.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 130V(1) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara tidak kurang lima tahun dan maksimum 20 tahun jika sabit kesalahan.

Hamimah turut dikenakan syarat tambahan antaranya dilarang mengganggu saksi pendakwaan dan menyerahkan pasport kepada mahkamah sehingga kes selesai.

Pemohon juga diperintah melaporkan diri di Ibu Pejabat Polis Daerah Kajang sekali setiap dua minggu sehingga perbicaraan selesai selain wajib hadir ke mahkamah pada setiap tarikh ditetapkan dan sekiranya sakit, penjamin perlu hadir mengemukakan sijil sakit dari hospital dan klinik kerajaan.

“Sekiranya gagal mematuhi mana-mana syarat jaminan itu, mahkamah boleh mengeluarkan waran tangkap, wang jaminan boleh dirampas atau dinaikkan dan dibatalkan serta boleh dipenjarakan sehingga kes selesai,” kata Hakim Latifah.

Terdahulu,  peguam Kamal Hisham Jaafar yang mewakili Hamimah berkata permohonan jaminan anak guamnya dibuat mengikut peruntukan Seksyen 13 (2) (b) Akta SOSMA yang jelas menyatakan pemohon termasuk dalam satu daripada tiga kategori diperuntukkan di bawah seksyen tersebut.

Beliau berkata peruntukan itu adalah umur di bawah 18 tahun atau wanita atau sakit dahsyat yang membenarkan mahkamah membuat pertimbangan pemohon dibebaskan dengan jaminan.

“Permohonan kami dibuat secara spesifik mengikut seksyen tersebut bagi kategori wanita. Pemohon juga mempunyai masalah kesihatan dan menghidap penyakit seperti asma, diabetis, hipertensi dan ekzema kronik.

“Keadaan penjara yang serba kekurangan dan tidak selesa dari segi kebersihan telah menyebabkan kesihatan pemohon semakin teruk. Tertuduh juga telah berada dalam tahanan reman di Penjara Wanita Kajang sejak 20 Sept tahun lepas iaitu lebih kurang empat bulan,” katanya.

Timbalan Pendakwa Raya Norinna Bahadun berkata pihak pendakwaan tidak membantah terhadap permohonan jaminan itu dan mencadangkan ikat jamin RM30,000 berserta syarat tambahan.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy