AM

Bekerja Atau Tidak, Carum PERKESO Untuk Perlindungan Diri Dan Keluarga

13/01/2025 05:16 PM

KUCHING, 13 Jan (Bernama) -- Setiap individu yang bekerja atau tidak bekerja boleh mencarum dalam Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) untuk perlindungan diri dan juga keluarga sekiranya berlaku kemalangan.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Nancy Shukri berkata sekiranya pencarum meninggal dunia, sekurang-kurangnya waris mendapat mendapat faedah dari segi kewangan yang sedikit sebanyak dapat mengurangkan beban.

“Sama ada bekerja atau tidak bekerja, seseorang boleh menyumbang untuk mencarum ke PERKESO sebagai perlindungan jika berlaku sesuatu bukan sahaja kematian malah kemalangan kecil di rumah juga boleh dituntut.

“Oleh itu, kita (kementerian) bekerjasama dengan PERKESO dalam program kita untuk menerangkan manfaatnya kepada orang ramai terutamanya golongan wanita,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Penyerahan Kotak Prihatin PERKESO kepada waris Nurul Asikin Lan yang turut dihadiri oleh Pengarah PERKESO Sarawak Tan Pang Chia dan Timbalan Jabatan Kebajikan Masyarakat Sarawak Mohamad Ali Taib di kediamannya  Darul Hana di sini hari ini.

Nancy berkata waris pencarum bukan sahaja mendapat bantuan khairat kematian berjumlah RM3,000, malah waris juga mendapat sumbangan caruman berjumlah RM608 setiap bulan sehingga waris meninggal dunia.

Nurul Asikin Lan, 28, dilaporkan hilang pada 5 Dis selepas keluar bersama seorang lelaki yang baru dikenalinya sebelum mayatnya ditemukan di dalam longkang di kawasan Tabuan Jaya di sini pada 14 Dis.

Sementara itu, bapa arwah Lan Endor, 53, bersyukur dengan sumbangan yang diterimanya daripada pihak PERKESO.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy