JENAYAH & MAHKAMAH

Bicara Kes Avitan Shalom Ditangguh Kali Ketiga, Pengurusan Kes 14 Feb 

13/01/2025 06:29 PM

KUALA LUMPUR, 13 Jan (Bernama) -- Perbicaraan kes seorang lelaki warga Israel, Avitan Shalom yang didakwa atas dua pertuduhan memiliki 200 butir peluru dan memperdagangkan enam senjata api di Mahkamah Sesyen ditangguhkan sekali lagi, kerana terdapat pertikaian daripada pihak pembelaan berhubung jurubahasa Ibrani (Hebrew).

Ini adalah kali ketiga perbicaraan ditangguhkan, selepas kali kedua pada Selasa lepas (7 Jan) disebabkan permintaan Avitan untuk mendapatkan jurubahasa Ibrani.

Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Mustaffa P Kunyalam memaklumkan kepada Hakim Mahkamah Sesyen Norina Zainol Abidin bahawa pihak pendakwaan hari ini telah bersedia dengan saksi-saki dalam kes berkenaan, namun tidak membantah penangguhan dikemukakan peguam Jeffrey Ooi yang mewakili Avitan.

"Pihak pendakwaan bersedia. Pihak mahkamah juga telah menyediakan jurubahasa, tetapi ada bantahan daripada pihak peguam terhadap jurubahasa ini dan untuk tidak membuang masa pihak-pihak serta demi kepentingan keadilan, kes ini perlu ditangguhkan pada tarikh yang dicadangkan peguam," kata Mohamad Mustaffa.

Terdahulu, Jeffrey berkata pihak pembelaan memohon penangguhan itu berkaitan jurubahasa berkenaan yang mungkin akan menimbulkan isu.

“Kami mempunyai beberapa isu penting daripada peguam utama, Datuk Naran Singh, dan kami percaya mahkamah telah menerima surat penangguhan daripada Datuk Naran.

“Kami memohon penangguhan ini kerana satu daripada isu utama adalah penterjemah bahasa Ibrani, yang mungkin menjadi masalah,” katanya dan memohon agar kes ini ditangguhkan ke 14 Feb.

Hakim Norina kemudian membenarkan penangguhan dan melapangkan tarikh-tarikh perbicaraan serta menetapkan 14 Feb depan untuk pengurusan kes berkenaan. 

Mahkamah sebelum ini menetapkan perbicaraan kes itu selama 12 hari bermula 6 sehingga 9 Jan, 13 hingga 16 Jan, serta 20 hingga 23 Jan. Perbicaraan kes itu ditangguhkan sebanyak dua kali iaitu pada 6 dan 7 Jan.

Mengikut pertuduhan pindaan pertama, Avitan, 39, didakwa memiliki sekotak Shell Shock NAS3 9mm mengandungi lapan butir peluru, tiga kotak Bullet Master Co Ltd mengandungi 150 butir peluru dan 42 butir peluru di dalam tiga senjata berlainan tanpa lesen atau permit senjata.  

Pertuduhan itu dibuat mengikut Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960 yang membawa hukuman penjara tidak melebihi tujuh tahun atau denda tidak melebihi RM10,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan pindaan kedua, Avitan didakwa berdagang enam senjata api iaitu Glock 19 USA 9x19, Sig Sauer P3205P, Cougar 8000FT, Glock 17 Gen4 Austria 9x19, M&P 9C Smith & Wesson Springfield MA USA dan Stoeger Cougar 8000F. 

Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 7(1) Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 yang membawa hukuman penjara tidak kurang 30 tahun dan tidak lebih 40 tahun serta sebatan tidak kurang enam kali, jika sabit kesalahan.

Kedua-dua kesalahan itu didakwa dilakukan di dalam sebuah bilik hotel di Jalan Ampang, di sini antara 6.46 petang pada 26 Mac dan 6 petang pada 28 Mac tahun lepas.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy