JENAYAH & MAHKAMAH

Hampir 400 Desak Labuan FSA Ambil Tindakan Terhadap Syarikat Dikatakan Anjur Skim Forex Tidak Sah

13/01/2025 09:41 PM

KUALA LUMPUR, 13 Jan (Bernama) -- Hampir 400 orang yang mendakwa menjadi mangsa penipuan pelaburan mendesak Lembaga Perkhidmatan Kewangan Labuan (Labuan FSA) mengambil tindakan lebih keras terhadap sebuah syarikat dipercayai menganjurkan skim pelaburan mata wang asing (Forex) tidak sah, sehingga menyebabkan mereka mengalami kerugian lebih RM104 juta.

Mereka yang diwakili lebih 50 orang, hadir di perkarangan pejabat Labuan FSA di ibu negara hari ini, mendesak agar badan itu tidak hanya sekadar mengenakan tindakan pembubaran syarikat berkenaan seperti dilakukan pada 2023, sebaliknya mereka menuntut supaya syarikat juga perlu disiasat dan dihukum di bawah prosedur jenayah.

Seorang daripada mereka yang hanya ingin dikenali sebagai Tan, 33, yang mula melabur dengan syarikat itu setelah dipelawa seorang rakannya semenjak 2016, mempersoalkan bagaimana syarikat itu dengan mudahnya mendapat lesen sehingga mampu memperdaya pelabur untuk melaburkan jutaan ringgit. 

“Saya ada menerima pulangan daripada syarikat itu sepanjang tempoh saya melabur, namun sejak 2023 syarikat berkenaan telah gagal memberi pulangan dan apabila ditanya mereka memberikan pelbagai alasan,” katanya ketika ditemui pada sidang media di perkarangan pejabat Labuan FSA di sini, hari ini. 

Datuk Danny Goh, 57, pula mendakwa telah mengalami kerugian RM10 juta selepas melabur dengan syarikat tersebut sejak 2018, dan beliau kecewa kerana tiada tindakan untuk mengheret syarikat itu ke muka pengadilan, walaupun beberapa laporan polis dibuat di seluruh negara sejak September tahun lepas

“Saya sangat berharap tindakan tegas dapat diambil terhadap syarikat yang beroperasi sejak 2016 ini supaya menjadi peringatan terhadap yang lain dan pada masa yang sama masyarakat juga perlu ada kesedaran tentang perkara ini,” katanya. 

Sementara itu Setiausaha Agung Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO), Datuk Hishamuddin Hashim berkata pihaknya yang mewakili kumpulan itu telah menerima aduan bukan hanya di negara ini, malah dari Indonesia, Singapura dan Brunei. 

“Perdagangan Forex ini tidak dibenarkan untuk dipromosikan kepada orang awam kerana ia hanya boleh dijalankan syarikat yang dilesenkan oleh Bank Negara Malaysia (BNM), namun syarikat ini telah menggunakan lesen money brokerage untuk mengaburi mata pelabur awam bahawa skim pelaburan yang dianjurkan mereka dikawal selia Labuan FSA,” katanya. 

Hishamuddin berkata meskipun Labuan FSA telah bertindak membubarkan syarikat berpangkalan di Labuan itu, namun pihaknya mendesak agar tindakan diambil mengikut prosedur jenayah termasuk Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA). 

-- BERNAMA 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy