LHASA, 13 Jan (Bernama-Xinhua) -- Satu upacara memperingati mangsa gempa bumi diadakan pada Isnin bagi mengenang mangsa yang terkorban dalam gempa berukuran 6.8 magnitud yang melanda Daerah Dingri di Wilayah Autonomi Xizang, barat daya China, minggu lalu, lapor Xinhua.
Pada 9.30 pagi, siren dibunyikan di seluruh Perbandaran Chamco, lokasi acara berlangsung. Sebuah papan besar dengan tulisan Mandarin dan Tibet berwarna putih tertera perkataan "sangat berdukacita" atas pemergian mangsa gempa bumi Dingri dipamerkan di dataran perbandaran itu.
Ratusan individu termasuk pegawai kerajaan, anggota penyelamat dan penduduk tempatan menanggalkan topi dan berdiri bertafakur selama tiga minit sebagai penghormatan kepada mangsa yang terkorban.
Di kawasan penempatan semula, lampu mentega tradisional Tibet dipasang di beberapa rumah pasang siap, sementara penduduk meratapi kehilangan keluarga dan rakan mereka.
Pada 7 Jan, gempa bumi kuat melanda Dingri, lokasi kem pangkalan utara puncak tertinggi dunia, Gunung Qomolangma, menyebabkan 126 nyawa terkorban.
Ketua Parti Kampung Gurum di Dingri, Tsering Pingtso, kehilangan ibunya dalam kejadian itu. "Semoga mereka yang telah pergi bersemadi dengan aman," kata Tsering Pingtso yang tidak dapat menahan air matanya ketika upacara peringatan itu.
Walaupun dilanda kesedihan, pegawai kampung itu tetap komited terhadap usaha bantuan. Beliau berkata semua 107 penduduk kampung kini telah dipindahkan dari khemah ke rumah pasang siap, tiga hari selepas gempa bumi.
"Kesukaran tidak akan melemahkan tekad kami. Kami akan mengubah kesedihan menjadi kekuatan untuk membina rumah yang lebih indah dan makmur dengan sepenuh usaha," kata Pasang, naib datuk bandar eksekutif bandar Xigaze yang mentadbir Dingri.
Setakat Isnin, 337 orang yang cedera telah dirawat, 407 orang berjaya diselamatkan dan lebih 47,500 yang terjejas telah ditempatkan dengan sewajarnya.
Isnin menandakan hari ketujuh selepas gempa bumi, yang merupakan hari penting dalam upacara ritual Buddha bagi memperingati orang yang telah meninggal dunia.
Selepas gempa bumi, Panchen Erdeni Chos-kyi rGyal-po, anggota Jawatankuasa Tetap Jawatankuasa Kebangsaan Persidangan Perundingan Politik Rakyat China dan naib presiden Persatuan Buddha China, mengadakan beberapa sesi doa bersama sami dengan membaca kitab suci dan berdoa agar semua yang tinggal di kawasan dilanda bencana segera dibebaskan daripada malapetaka dan membina semula kediaman mereka secepat mungkin.
-- BERNAMA-XINHUA