KUALA LUMPUR, 13 Jan (Bernama) -- Duti antilambakan sementara di antara 2.52 peratus hingga 36.80 peratus perlu dikenakan kepada import dagangan subjek dari China, India, Jepun dan Korea Selatan.
Dagangan subjek tersebut berupa gulungan rata besi atau keluli bukan aloi dengan kelebaran 600 milimeter atau lebih, disalut, disadur atau disepuh dengan timah.
Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) dalam kenyataan hari ini berkata, langkah itu bagi mengelakkan sebarang kemudaratan material lanjut terhadap industri tempatan dan akan berkuat kuasa bagi tempoh tidak melebihi 120 hari mulai 11 Jan, 2025.
Menurut MITI, kerajaan memulakan penyiasatan duti antilambakan pada 14 Ogos 2024, selaras dengan Akta Duti Timbal Balas dan Anti-Lambakan 1993 (Akta) serta Peraturan Duti Timbal Balas dan Anti-Lambakan 1994 (Peraturan) berdasarkan petisyen yang difailkan oleh Perusahaan Sadur Timah Malaysia (Perstima) Bhd (pempetisyen).
MITI berkata, pempetisyen mendakwa dagangan subjek yang berasal atau dieksport dari China, India, Jepun dan Korea Selatan diimport ke Malaysia pada harga yang lebih rendah daripada harga yang dijual dalam pasaran domestik negara-negara tersebut.
Katanya, ini menyebabkan kemudaratan material kepada industri tempatan di Malaysia.
"Seperti yang diperuntukkan di bawah seksyen 23 dalam Akta Duti Timbal Balas dan Anti-Lambakan 1993, kerajaan mendapati terdapat bukti yang mencukupi untuk meneruskan penyiasatan," kata MITI.
MITI berkata, kerajaan memutuskan untuk mengenakan duti antilambakan yang dijamin dengan cagaran yang setara dengan jumlah margin lambakan yang akan ditentukan selewat-lewatnya 10 Mei 2025.
Katanya, pengimport, pengeluar/pengeksport asing dan persatuan yang berkaitan dengan penyiasatan digesa memberi ulasan atau pandangan berhubung laporan penentuan awal tersebut kepada MITI selewat-lewatnya 20 Jan, 2025, 5.30 petang.
Pihak berkepentingan juga boleh mendapatkan salinan versi tidak sulit laporan berkenaan dengan membuat permohonan bertulis kepada kementerian.
-- BERNAMA