Oleh Sarinah Mat Kasim
SEREMBAN, 14 Jan (Bernama) -- Sebaik melangkah masuk ke pasar karat di Jalan Utam Singh di sini, pengunjung pastinya akan diselubungi nostalgia zaman muda atau kanak-kanak apabila melihat pelbagai barangan antik dan vintaj yang dijual di situ.
Beroperasi sejak lebih 40 tahun lalu, pasar ini bukan sekadar destinasi mencari barangan lama pada harga murah tetapi juga syurga pengumpul barangan antik, khususnya yang sarat dengan nilai sejarah, antaranya perkakas tembaga, mesin jahit lama dan perhiasan rumah dari era 60-an hingga 80-an.
Mohd Khairudin Darus, 65, yang telah berniaga selama lapan tahun di pasar itu, berkata kebanyakan pengunjung datang kerana mereka mencari barang-barang tertentu.
“Antara barangan yang sering mendapat permintaan ialah pinggan mangkuk lama dan koleksi perhiasan rumah seperti bingkai gambar klasik serta pasu antik yang dijual pada harga RM10 hingga RM1,200.
"Saya juga ada teropong antik seperti yang digunakan oleh Jack Sparrow (watak dalam siri filem Pirates of the Carribean) berharga RM1,200. Teropong daripada tembaga ini dibuat di England dan mempunyai nilai estetika yang tinggi,” katanya ketika ditemui Bernama di pasar itu.
pic-2
Menurutnya, kebanyakan barang-barang tersebut diperoleh daripada rakan dan saudara mara.
“Barangan seperti ini ada peminat tersendiri, yang mengumpul koleksi atau untuk dijadikan hiasan,” katanya, menambah sambutan yang diterima juga menggalakkan daripada pengunjung setempat dan luar daerah.
Cheah Ah Seng, 70, yang telah berniaga di situ sejak tiga dekad lalu, berkata pasar tersebut sudah tidak "semeriah” dahulu.
“Dulu ramai orang datang, sekarang kurang sikit. Mungkin keadaan sudah berubah, pasar biasa pun banyak," katanya yang menjual pelbagai mesin jahit lama serta perhiasan rumah.
Menurutnya, sekalipun jumlah pengunjung tidak seramai dahulu, rata-rata peniaga masih membuka gerai masing-masing kerana minat selain mempunyai pelanggan tetap.
pic-3
Seorang pengunjung, Nazira Ismail, 38, berkata beliau datang ke pasar itu kerana gemar melihat barangan lama yang semakin sukar ditemukan.
"Seronok dapat lihat barang-barang lama seperti seterika antik tembaga yang menggunakan arang untuk mengosok baju...zaman sekarang mana ada guna lagi. Di pasar biasa memang susah jumpa.
"Anak-anak juga teruja dapat tengok barang lama, mungkin ini barangan yang digunakan oleh nenek moyang kita dahulu… tapi kami cuma (mampu) lihat sahaja sebab nilainya tinggi. Kita tahu barangan lama ini semuanya berharga,” kata ibu kepada tiga anak itu.
Wanita ini turut berharap lebih ramai anak muda mengunjungi pasar tersebut untuk melihat sendiri barangan lama yang mempunyai nilai sejarah tersendiri sambil belajar tentang tinggalan nenek moyang mereka.
Pasar karat yang menampung lebih 20 peniaga itu dibuka pada setiap Ahad dari 7 pagi hingga 1 tengah hari.
-- BERNAMA