GAYA HIDUP

Festival Ais Harbin Hidupkan Fantasi Filem Animasi Frozen

15/01/2025 11:32 AM

Oleh Nurhafizah Tan

HARBIN, 15 Jan (Bernama) --  Bagaikan berada di Arendelle, kerajaan fiksyen yang menjadi latar tempat bagi filem animasi Frozen, itulah perasaan penulis ketika melangkah masuk ke Harbin International Ice and Snow Festival 2025 di wilayah Heilongjiang, China baru-baru ini. 

Keindahan taman ais outdoor yang diiktiraf sebagai terbesar di dunia oleh Guinness World Records itu memukau pengunjung dengan pelbagai arca ais gergasi berwarna kebiruan yang diukir dalam bentuk istana serta mercu tanda di 42 negara. 

Tidak hanya itu, binaan gelongsor, tangga dan terowong ais persis kaca lut sinar di kawasan seluas satu juta meter persegi, meliputi 300,000 meter padu  bongkah salji dan ais itu juga membuatkan penulis seolah-olah dibawa ke alam fantasi. 

pic-2

Dengan suhu sejuk hingga - 20 darjah Celsius (pada 6 Jan), pengunjung juga bakal terpukau dengan hasil kreativiti  binaan yang menggunakan 10,000 tenaga kerja  di atas Sungai Songhua yang membeku ketika musim sejuk, fenomena yang hanya dapat dinikmati setahun sekali. 

"Jom, kita bergambar dengan 'Menara KLCC' dulu ! ," kata teman kembara penulis yang begitu teruja apabila melihat arca mercu tanda Malaysia,  Menara Berkembar Petronas yang tersergam indah mewarnai dunia magis itu.

Festival yang berlangsung sejak 21 Dis lepas hingga pertengahan atau hujung Februari ini turut menampilkan mercu tanda seperti Burj Khalifa, Taj Mahal, Osaka Castle dan Temple of Heaven diukir daripada bongkah ais yang bersinar bak kristal.

pic-3

Roda Ferris berbentuk emping salji  gergasi, dibina dalam pameran yang diwujudkan pada 1985 itu menambah pesona panorama tersebut membuatkan pengunjung terasa seperti Puteri Elsa dalam filem animasi Frozen. 

Penulis bagaimanapun terkilan kerana tidak berpeluang menaiki roda Ferris dan gelongsor ais sepanjang 365 meter serta 500 meter yang merupakan tarikan utama di situ kerana tidak berjaya menempah slot di aplikasi WeChat yang dibuka sejam sekali walaupun empat kali mencuba nasib dalam merebut tempat. 

"Setiap hari, kami menerima terlalu ramai pengunjung, jadi memang sukar untuk menempah slot. Kami minta maaf sangat-sangat, " kata seorang staf bertugas yang turut berbaik hati membantu kami membuat tempahan namun masih gagal.

pic-4

Ketika tiba di destinasi pada 2 petang, penulis turut bertuah kerana berpeluang menikmati pemandangan malam arca ais yang digabungkan dengan lampu LED berwarna-warni bermula 4 petang, iaitu ketika matahari mula terbenam. 

Tidak dapat dinafikan, cuaca ekstrem yang terlalu sejuk menjadi cabaran terbesar untuk menikmati  keindahan dan keunikan binaan ais tersebut.  

Walaupun anggota badan terutama tangan dan muka terasa amat perit dek cuaca di bawah paras beku, namun demi menyaksikan kecantikan seni bina ais dengan cahaya berwarna-warni yang menghiasi malam, memberi semangat untuk penulis bertahan mengharungi cabaran tersebut sekali gus membuatkan rasa dingin itu 'hilang'. 

pic-5

"Saya tak pernah rasa sejuk macam ni. Walaupun tangan asyik kebas kerana kerap buka sarung tangan untuk menyentuh skrin telefon, pemandangan cahaya malam di festival ini membuatkan semua cabaran ini berbaloi,” ujar pelancong dari Malaysia, Linda Looi yang kami temui secara kebetulan. 

Bagi yang berminat untuk berkunjung, pastikan memakai pakaian sejuk yang cukup, termasuk membawa pek pemanas , memakai sarung tangan kalis angin serta topi musim sejuk bagi mengurangkan rasa tidak selesa akibat cuaca sejuk. 

pic-6

Penulis mencadangkan pelawat antarabangsa menempah tiket masuk yang berharga sekitar RM200 secara dalam talian, antaranya aplikasi Trip.com yang mana kod QR diberikan boleh digunakan terus di pintu masuk. 

Festival tahunan yang dibuka  dari 10 pagi hingga 10 malam ini juga mudah diakses dengan pengangkutan awam termasuk menggunakan perkhidmatan rel bawah tanah yang terletak kurang 200 meter dari pintu masuk utama. 

-- BERNAMA 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy