GAYA HIDUP

Lisa Surihani Masih Berlakon, Pilih Naskhah Punya Nilai Keagamaan

15/01/2025 10:24 AM

Oleh Marfika Adnan Haris Fadzilah

KUALA LUMPUR, 15 Jan (Bernama) -- Sudah agak lama pelakon terkenal Datin Lisa Surihani tidak mewarnai pentas lakonan negara. Bahkan kemunculannya di persada seni ketika ini juga lebih menonjol sebagai model tudung muslimah ataupun pengacara program televisyen. 

Tidak menafikan perjalanan karier seninya sebagai aktres agak perlahan khususnya selepas mendirikan rumah tangga dan menjadi ibu kepada dua cahaya mata, anak kelahiran Kuala Lumpur ini mengakui sengaja memilih langkah itu untuk bersikap selektif terhadap watak yang ditawarkan kepadanya.

Bukan bermaksud menolak rezeki tetapi setelah berkecimpung lebih daripada satu dekad dalam industri hiburan negara, membuatkan pelakon senior dan penuh pengalaman ini inginkan sesuatu kelainan dalam setiap watak yang dilakonkannya.

Sementelah apabila isteri kepada komposer dan pengarah terkenal Datuk Yusry Abdul Halim ini tampil berhijab kira-kira lima tahun lepas selepas pulang menunaikan umrah, Lisa, 39, kini nampaknya lebih tertarik kepada naskhah jalan cerita berunsurkan kerohanian serta memberi manfaat kepada orang lain. 

"Kalau ikutkan pada perjalanan kerjaya saya dari awal lagi, saya sudah buat pelbagai (watak). Tetapi, kalau dari segi keagamaan (drama, filem) itu mungkin, in the past sekali dua macam itu (sahaja),” katanya.  

“Jadi, kalau ada cerita sebegitu (nilai keagamaan), saya boleh (lakonkannya) dan harapnya juga, ia (drama atau filem yang) tertulis untuk saya, insya-Allah. Sebelum berhijrah pada 2019, saya memang agak berhati-hati memilih watak dan sentiasa menitiberatkan pendapat mereka yang dekat dengan saya," tambah beliau.

Menemuinya selepas sidang media KRU baru-baru ini, Lisa yang sebelum ini popular menerusi watak Dian dalam filem Istanbul Aku Datang ini bagaimanapun menafikan bahawa keterbatasannya beraksi di pentas lakonan berpunca daripada suaminya yang menetapkan syarat-syarat tertentu. 

pic-2

Malah,  pemenang anugerah pelakon wanita terbaik Festival Filem Malaysia ke-23 dan 26 ini berkata suaminya yang juga anggota kumpulan trio adik-beradik  KRU, tidak pernah menetapkan sebarang syarat kepadanya dalam mengukuhkan lagi sayap di dunia seni.

“Sebaliknya, dia lebih memberi sokongan di atas keputusan yang (saya) buat. Alhamdulillah, dari awal perkahwinan lagi, ada persefahaman yang cukup baik antara saya dengan suami, bahkan tidak pernah pula ada situasi (dia tidak beri saya ambil apa-apa tawaran). Biasanya, dia akan okey sahaja. 

“Suami memang tidak masuk campur dalam kerjaya seni saya (tidak kiralah lakonan, model atau pengacara). Dia cuma terlibat apabila saya tanya pendapat dia mengenai sebarang tawaran yang diterima,” katanya. 

Menginginkan yang terbaik, Lisa, anak keempat daripada lima beradik ini berkata semestinya beliau  menyimpan harapan tinggi pada tahun ini  untuk melihat perjalanan karier seninya serta kehidupannya bersama-sama dengan keluarga tercinta sentiasa dipermudahkan. 

Di samping menaruh impian untuk menyaksikan layar perniagaannya, Suri yang diusahakan bersama Nori Malaysia Sdn Bhd dengan memberi fokus kepada produk berasaskan penjagaan serta rawatan rambut khusus bagi mereka berhijab, dapat diperkukuhkan lagi. 

“Saya sekarang di peringkat kehidupan yang saya rasakan mustahil akan berlaku sesuatu tanpa izin Allah. Harapnya Allah izinkan lagi, supaya jenama Suri dapat berkembang (dengan) baiknya, di mana yang bersesuaian dengan kemampuan saya.

"Harapnya, (tahun ini) saya dapat melunaskan tanggungjawab sebagai ibu dan menjaga amanah-amanah Allah ini dengan sebaiknya bersama dengan suami,” katanya. 

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy