DUNIA

Langkawi: Permata Asia Tenggara Mengalu-alukan Diplomat ASEAN

16/01/2025 01:41 PM

Oleh Massita Ahmad

LANGKAWI, 16 Jan (Bernama) -- Ketika Penerbangan MH1432 bersedia untuk mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi pada Rabu (15 Jan), pengumuman melalui interkom menjadi mukadimah puitis kepada keajaiban yang menanti penumpangnya.

Antara para penumpang termasuk sejumlah besar pegawai kerajaan, yang boleh dikenal pasti melalui lambang pada baju mereka, membayangkan kepentingan lawatan mereka.

Destinasi mereka: Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN (AMM), perhimpunan pemimpin serantau yang komited untuk memupuk dialog dan kerjasama.

"Selamat datang dan selamat menikmati keaslian Langkawi," suara kru kabin bergema, menggambarkan esensi destinasi yang menakjubkan ini.

"Langkawi merupakan himpunan khazanah formasi batu batan yang pelbagai bentuk, hutan hujan tropika yang asli, pasir pantai yang putih lagi cantik, lautan biru yang menawan serta pemandangan matahari terbenam yang menakjubkan.

"Sebuah pulau dari gugusan 99 pulau yang asli mempersonakan serta kaya dengan budaya, legenda serta cerita-cerita rakyat merupakan destinasi percutian pilihan pelancong dari serata dunia. Langkawi juga adalah sebuah Geopark yang pertama di Asia Tenggara," kata kru itu.

Penulis diberitahu bahawa penerbangan syif pagi pesawat Beoing itu telah penuh ditempah, menyukarkan untuk menukar tempat duduk di bahagian tingkap kepada tempat duduk lorong. 

Kami mengucapkan selamat bercuti di Langkawi dan terima kasih kerana membantu kami memelihara keindahan serta keaslian pulau kami,” kata kru itu, satu "seruan” yang sesuai untuk para pemimpin yang diamanahkan untuk membentuk masa depan rantau ini.

Permukiman Menteri-Menteri Luar ASEAN (Permukiman AMM) akan diadakan dari 18-19 Jan 2025 di Langkawi.

Permukiman AMM ialah mesyuarat ASEAN pertama yang dijadualkan pada tahun ini.

Malaysia adalah Pengerusi ASEAN pada 2025.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy