EKONOMI

HDC Sasar 2,443 Pengeksport Halal Malaysia Bagi 2025

16/01/2025 03:45 PM

KUALA LUMPUR, 16 Jan (Bernama) -- Halal Development Corporation Bhd (HDC) menyasarkan sebanyak 2,443 pengeksport halal Malaysia bagi tahun ini berbanding 1,600 pengeksport setakat Disember 2024.

Sehubungan itu, Ketua Pegawai Eksekutif HDC Hairol Ariffein Sahari berkata agensi itu akan terus melipatgandakan usaha bagi mengenal pasti syarikat-syarikat tempatan yang berpotensi dalam bidang berkenaan.

Bercakap kepada pemberita selepas sesi Taklimat Bersama Editor : Ekonomi Halal dan Impaknya ke Atas Malaysia di sini, hari ini, beliau berkata pada masa ini, kira-kira 200,000 syarikat tempatan terlibat dalam aktiviti perniagaan berkaitan halal.

“Namun hanya 9,162 syarikat sahaja daripada pelbagai segmen yang mempunyai sijil halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM),” katanya.

Menjelaskan selanjutnya, Hairol Ariffein berkata daripada jumlah itu, hanya 1,600 merupakan pengeksport halal yang disifatkan sebagai angka yang masih rendah berbanding permintaan pasaran halal global yang kini melebihi US$3 trilion.

Beliau berkata antara cabaran syarikat Malaysia menjadi pengeksport halal adalah ketiadaan pengurus pematuhan halal yang berperanan membangunkan rangka kerja operasi halal selain keupayaan mengenal pasti pasaran halal yang berpotensi serta pendekatan atau sikap "tunggu dan lihat."

Pada masa sama, beliau juga mengingatkan kepentingan syarikat halal mempunyai ilmu risikan pasaran bagi memastikan hala tuju dan strategik baik dalam ekonomi halal serta panduan pengeksportan produk ke peringkat antarabangsa.

Sementara itu, Pengerusi HDC Khairul Azwan Harun pula menyentuh peranan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN tahun ini yang membolehkan negara ini membantu anggota lain blok itu membangunkan ekosistem halal di peringkat masing-masing selain meningkatkan perdagangan dua hala.

“Dalam ASEAN misalnya, kita mempunyai lebih daripada 650 juta penduduk. Oleh itu, penting bagi kita untuk merebut peluang ini agar 10 negara anggota ASEAN ini boleh memanfaatkan ekonomi halal.

“Jangan pula nanti ada negara lain di luar ASEAN yang meraih keuntungan berlipat kali ganda daripada pasaran halal,” katanya.

Beliau berkata seiring dengan kepengerusian ASEAN oleh Malaysia pada tahun ini, HDC akan bekerjasama dengan agensi seperti Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) dan JAKIM untuk terus mempromosikan industri halal Malaysia ke negara-negara lain.

Bagi tahun ini juga, HDC komited menumpukan kecemerlangan inovasi industri itu yang penting dalam usaha menjadikan Malaysia sebagai peneraju global dalam ekonomi halal.

Komitmen itu juga menjadi sebahagian daripada Pelan Induk Industri Halal (HIMP) 2030 yang menggariskan inisiatif strategik untuk meningkatkan pertumbuhan dan daya saing sektor halal. 

“HIMP 2030 menekankan kepentingan mempromosikan enam sektor halal utama, termasuk makanan, kosmetik dan penjagaan diri, farmaseutikal, peranti perubatan, pelancongan dan fesyen muslimah untuk mempelbagaikan serta mengukuhkan ekonomi halal Malaysia,” katanya.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy