DUNIA

Indonesia Sokong Visi Digital ASEAN Melalui Deklarasi Bangkok Di ADGMIN

17/01/2025 04:04 PM

Oleh Mohd Iswandi Kasan Anuar

JAKARTA, 17 Jan (Bernama) -- Indonesia telah mengesahkan komitmennya terhadap masa depan digital ASEAN dengan menyokong Deklarasi Digital Bangkok yang diterima pakai pada Mesyuarat Menteri Digital ASEAN (ADGMIN) ke-5 di Bangkok, Thailand.

Deklarasi itu menekankan komitmen bersama negara anggota ASEAN untuk mewujudkan persekitaran digital yang selamat, inovatif dan inklusif di seluruh rantau ini, menurut kenyataan daripada Kementerian Komunikasi dan Hal Ehwal Digital Indonesia.

Inisiatif utama dalam deklarasi itu termasuk mengukuhkan kerjasama serantau untuk menangani penipuan dalam talian, mempromosikan tadbir urus kecerdasan buatan (AI) yang boleh dipercayai dan meningkatkan akses kepada Internet berkualiti tinggi.

Mesyuarat ADGMIN selama dua hari yang dipengerusikan oleh Thailand untuk 2025, berakhir pada Jumaat dan turut dihadiri oleh Menteri Digital Malaysia, Gobind Singh Deo.

Bercakap pada mesyuarat itu, Menteri Komunikasi dan Hal Ehwal Digital Indonesia Meutya Hafid menekankan kepentingan kerjasama serantau dalam transformasi digital ASEAN.

“Indonesia menyokong sepenuhnya langkah-langkah yang digariskan dalam Deklarasi Digital Bangkok, yang sejajar dengan visi kami untuk menggalakkan keterangkuman digital dan merangsang inovasi teknologi,” katanya.

Beliau menambah bahawa transformasi digital mesti memberi manfaat kepada semua segmen masyarakat, terutamanya mereka yang berada di kawasan terpencil.

Meutya juga menekankan inisiatif Visi Digital Indonesia yang bertujuan untuk memperluas kesalinghubungan, meningkatkan literasi digital dan membangunkan bakat teknologi.

“Inisiatif ini sejajar dengan Pelan Induk Digital ASEAN 2025 dan memperkukuh peranan ASEAN sebagai hab ekonomi digital global, yang diunjurkan bernilai trilion dolar menjelang 2030,” katanya.

Di luar mesyuarat itu, beliau bertemu dengan Menteri Pembangunan Digital dan Maklumat Singapura, Josephine Teo untuk membincangkan dasar perlindungan kanak-kanak dalam ruang digital.

Terdahulu, Meutya juga membincangkan strategi untuk melindungi kanak-kanak dalam persekitaran digital dengan Presiden Prabowo Subianto di Istana Merdeka, Jakarta pada Isnin berikutan larangan Australia baru-baru ini terhadap akses media sosial untuk kanak-kanak bawah 16 tahun.

Beliau memberi taklimat kepada presiden mengenai pelbagai inisiatif transformasi digital, termasuk sistem e-kerajaan dan menekankan keperluan untuk peraturan yang lebih kukuh bagi melindungi kanak-kanak dalam talian.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2383768