GAYA HIDUP

Sentuhan Magis 'Pak Andam Megat’ Serikan Pengantin Lelaki

18/01/2025 11:48 AM

Oleh Nurhafizah Tan

KUALA LUMPUR, 18 Jan (Bernama) -- Berpenampilan segak menggayakan busana Melayu songket dan bertanjak di kenduri kahwin, mungkin ada yang menyangkakan Megat Mat Akhir Megat Mohamad, 57, merupakan bapa pengantin, walhal lelaki ini sebenarnya “pak andam”. 

Menggalas tanggungjawab penting membangkitkan aura wajah pengantin pada hari istimewa mereka, penampilan bapa kepada lapan orang anak serta 12 cucu ini berjaya memikat perhatian ramai sehingga tular di media sosial. 

Tampil dengan identiti tersendiri tatkala sudah begitu ramai daripada kaum Adam yang menceburi bidang andaman, kebanyakan ahli masyarakat berasa kagum dengan personaliti Megat Mat Akhir yang  kekal maskulin selain terpesona dengan kreativit sentuhan anak Perak ini. 

Berpengalaman hampir 40 tahun dalam bidang itu, kemahiran lelaki ini bermain dengan warna khususnya pada wajah pengantin lelaki, membuatkan khidmatnya terus ditagih hingga ke hari ini. 

pic-2

"Saya rasa pada zaman sekarang sudah ramai lelaki yang ceburi bidang ini, yang orang panggil MUA (make-up artist), lagi hebat, pandai dan profesional (dalam menaikkan seri wajah), tetapi mungkin rezeki saya tular kerana dalam video itu menampakkan penampilan saya menarik, 'rare’, berbaju Melayu songket dan bertanjak ketika menyiapkan pengantin,” katanya kepada Bernama.

Mengimbau kembali pembabitannya dalam bidang andaman sekitar 1985, pengusaha kilang arang kayu berkata semuanya berlaku secara tidak sengaja gara-gara terlalu kerap diminta menjadi pengapit pengantin. 

“Zaman dahulu, apabila jadi pengapit pengantin mereka juga perlu menyiapkan pengantin, dan waktu itu saya (tidak ada ilmu andaman) jadi buat semampu mungkin sahaja.

“Bagaimanapun, kerana kerap sangat diminta jadi pengapit, lama-kelamaan saya (ambil inisiatif) belajar dan akhirnya minat pula,” katanya. 

pic-3

Bagi memastikan hasil solekan memuaskan dan sempurna, Megat Mat Akhir menggunakan barangan dan alat solek berkualiti tinggi selain mengaplikasi teknik yang selari dengan keperluan individu dan tidak berlebihan. 

"Solekan untuk pengantin lelaki sebenarnya lebih susah sebab perlu nampak asli, tidak nampak 'berbedak’ dan bersolek. Ada orang berpandangan wajah lelaki tak perlu dirias, tapi sebenarnya perlu juga, barulah naik seri,” tegasnya.

Tambah beliau, pada hari berkenaan pengantin bukan sahaja menjadi tumpuan mata tetamu tetapi juga perlu memastikan kenangan indah pada hari bersejarahnya dirakam menerusi gambar dan video. 

pic-4

“Jadi,takkanlah wajah raja sehari kusam, berminyak dan ala kadar sahaja,” katanya yang turut mengusahakan perniagaan pakej perkahwinan.

Jelasnya lagi, pengantin lelaki juga selalunya lebih selesa disiapkan oleh pak andam kerana lebih mudah berkomunikasi selain menjaga batas pergaulan dan aurat. 

"Biasanya yang menghubungi saya untuk tempahan ialah pasangan bakal pengantin atau ibu pengantin lelaki. Mereka mahu penampilan bakal suami dan anak mereka tidak terabai. (Bagi yang berminat jadi jurusolek) saya sangat seronok dan lebih dari sudi menurunkan ilmu supaya ada pelapis nanti. 

“Jangan pandang enteng dan skeptikal, permintaan servis ini memang ada. Insya-Allah, boleh jadi sumber rezeki dan menjana pendapatan," katanya yang mendapat tempahan luar biasa sejak tular di media sosial. 

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2384064