KANGAR, 17 Jan (Bernama) -- Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Perlis berjaya merampas pelbagai barangan tidak berkastam serta dadah keseluruhan bernilai RM13,714,628 dan nilai cukai sebanyak RM9,024,434 dalam aktiviti penguatkuasaan sepanjang tahun lepas.
Pengarahnya Ismail Hashim berkata pencapaian itu hasil kerjasama strategik antara unit, cawangan dan bahagian JKDM melalui pelaksanaan pendekatan Cekap, Tangkas dan Berintegriti (CTI).
“Rampasan ini melibatkan barangan seperti rokok, minuman keras, mercun, kenderaan, minyak diesel dan petrol, minyak masak serta dadah,” katanya pada sidang media di JKDM Cawangan Penguatkuasaan/Marin Kuala Perlis di sini hari ini.
Sementara itu, beliau berkata berkata pihaknya merampas 89 ketulan mampat atau 89.481 kilogram (kg) kanabis dianggarkan bernilai RM275,900 dalam pemeriksaan di kawasan hutan paya bakau Bukit Putih di Kuala Perlis pada 3.30 petang, 6 Jan lepas.
“Hasil pemeriksaan menjumpai empat bungkusan guni berwarna putih yang ditinggalkan dalam hutan paya bakau tersebut. Modus operandi dipercayai meninggalkan bungkusan guni disyaki berisi dadah jenis kanabis ini di kawasan hutan paya bakau dan dipercayai akan diambil oleh individu lain,” katanya.
Beliau berkata kes itu disiasat mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.
Ismail berkata JKDM Perlis turut merampas 1,370kg daun ketum dianggarkan bernilai RM54,800 daripada dua sampan fiber tanpa nombor pendaftaran ketika rondaan laut secara berasingan di kawasan perairan Sungai Padang, Simpang Empat pada 10 Jan lepas.
“Semasa rondaan, dua pasukan anggota Kastam Cawangan Penguatkuasaan/Marin Kuala Perlis mengejar dua sampan tersebut yang sedang bergerak laju menuju ke arah Thailand di kawasan perairan Sungai Padang.
“Ketika pasukan menghampiri kedua-dua sampan tersebut dan mengarahkan berhenti, pengemudi sampan bertindak memecut laju ke kawasan air cetek dan kelihatan dua lelaki dalam setiap sampan terjun ke dalam air dan berenang ke daratan meninggalkan sampan tersebut,” katanya.
Ismail berkata 820kg daun ketum bernilai RM32,800 dijumpai dalam sampan pertama manakala 550kg lagi daun ketum di sampan kedua keseluruhan bernilai RM22,000, dengan modus operandi dipercayai untuk dieksport ke Thailand.
Beliau berkata kes itu disiasat di bawah Seksyen 30(3) Akta Racun 1952.
-- BERNAMA