IPOH, 17 Jan (Bernama) -- Sebanyak 107 pendatang tanpa izin dari pelbagai negara yang ditempatkan di Depot Imigresen, Langkap telah dihantar pulang ke negara asal masing-masing semalam.
Pengarah Imigresen Perak Meor Hezbullah Meor Abd Malik berkata mereka terdiri daripada 77 lelaki, 27 wanita dan tiga kanak-kanak berusia lingkungan 1 hingga 57 tahun dengan penghantaran dilakukan melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang.
Beliau berkata pendatang dari Indonesia, Vietnam, Pakistan, India dan Bangladesh itu juga disenaraihitamkan dari memasuki Malaysia.
“Kesemua yang dihantar pulang telah menyelesaikan bayaran kompaun atau menjalani hukuman denda serta penjara seperti ditetapkan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Sementara itu, Meor Hezbullah berkata pihaknya menahan 16 pendatang tanpa izin di tujuh lokasi berasingan sekitar daerah Batang Padang melalui operasi penguatkuasaan bersepadu pada 15 Jan.
Beliau berkata mereka terdiri daripada 11 lelaki, tiga wanita dan dua kanak-kanak perempuan yang merupakan warga Indonesia, Pakistan, Myanmar dan Kemboja.
“Kesemuanya ditahan di Depot Imigresen Ipoh di bawah Seksyen 51(5)(b) Akta Imigresen 1959/63 bagi siasatan lanjut kerana memasuki Malaysia tanpa permit sah,” katanya sambil mengingatkan tindakan tegas akan diambil terhadap mereka yang menggaji, menyembunyi atau melindungi pendatang tanpa izin.
-- BERNAMA