GAYA HIDUP

Elemen Moden Pada Pakaian Tradisional Mampu Pikat Generasi Muda Martabatkan Warisan Budaya

17/01/2025 07:11 PM

KUALA LUMPUR, 17 Jan (Bernama) -- Selitan elemen lebih segar dalam pertunjukan fesyen dan pertandingan pakaian tradisional diyakini mampu menarik generasi muda untuk bersama-sama memartabatkan busana warisan budaya negara.

Pengasas Miss Malaysia Kebaya Dr Jason Hee Jee Pin berkata antara yang boleh dilakukan ialah menggabungkan elemen moden dan tradisional seperti menyesuaikan pakaian tradisional dengan peredaran masa dan cita rasa anak muda.

 “Bila bercakap pasal warisan, mungkin mereka rasa pakaian tradisional ini tidak sesuai dengan mereka sebab mereka lebih sukakan sesuatu yang moden... sebab itu kita akan campurkan fesyen lama dengan yang baharu. Contohnya, ceongsam kita mix menggunakan elemen batik,” katanya ketika ditemui selepas program Apa Khabar Malaysia terbitan Bernama TV, hari ini. 

Hee yang juga penganjur pertandingan Heritage in Style, percaya dengan cara itu generasi muda lebih mudah menerima dan secara tidak langsung akan membantu mengingatkan mereka tentang warisan dan asal usul mereka.

“Walaupun digabungkan, identiti (bangsa) masih boleh dikekalkan. Lebih menarik, kita negara berbilang bangsa dan mempunyai pelbagai budaya, iaitu satu aspek yang orang lain (negara lain) tidak ada. Itulah perkara untuk tarik minat mereka,” katanya. 

pic-2

Sementara itu, Pengarah Heritage in Style Nicole Fe Lynne berkata golongan pempengaruh juga memainkan peranan penting dalam mempromosikan serta mengangkat warisan pakaian tradisional menerusi platform  mereka. 

“Untuk jadi suri teladan yang bagus, kita boleh pakai pakaian tradisional dalam kehidupan harian. Tidak perlu tunggu masa perayaan atau acara formal,” katanya.

Yang penting kata beliau, sesuaikan pakaian itu dengan aktiviti seharian, contohnya memilih ceongsam yang lebih kasual.

Heritage in Style merupakan acara yang mengetengahkan pakaian tradisional kaum Cina. 

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2383882