GAYA HIDUP

Masyarakat Perlu Peka, Fahami Keperluan Anak Autistik - Pakar

18/01/2025 10:27 AM

Oleh Norhidayyu Zainal

KUALA LUMPUR, 18 Jan (Bernama) -- Kerlingan mata dan pandangan sinis sesetengah orang terhadap anak-anak autistik yang dibawa ke tempat umum, adakala meluluhkan hati ibu bapa mereka.

Biarpun pelbagai maklumat dan pendedahan telah diberikan tentang golongan ini, baik di media sosial ataupun media massa, masih ramai yang belum mengerti situasi mereka yang mengalami Gangguan Spektrum Autisme (ASD) dan cabaran ibu bapa memiliki anak autistik. 

Hal ini diakui sendiri oleh penerbit dan komposer Edry Abdul Halim 48, apabila anak istimewanya Emery, 17, diberi layanan kasar semasa mereka menikmati makan malam di sebuah restoran di ibu kota, baru-baru ini.

Melalui perkongsian di media sosial, Edry menyatakan kekesalannya di atas kejadian itu  dan menyifatkan penerimaan masyarakat Asia dan Barat terhadap golongan istimewa ini amat berbeza, berdasarkan pengalamannya sendiri.

Kongsinya, pernah satu ketika di Manchester, England, beliau dan isteri Milia Mohammed dimarahi oleh seorang lelaki berusia gara-gara merentap tangan Emery sambil memintanya menjaga kelakuan.

pic-2

"Sebab itu kebanyakan orang Asia lebih rela 'simpan' anak mereka dalam rumah daripada bawa mereka berjalan-jalan kerana bimbang dengan pandangan serong masyarakat," katanya yang berharap masyarakat di negara ini lebih peka dan memberi ruang kepada golongan ini menikmati kehidupan seperti insan lain.

Edry yang mendirikan rumah tangga dengan Milia pada November 1999,  dikurniakan empat orang cahaya mata, iaitu Emil, 24; Edylia, 21; Emery, 17 dan Elya, 14.

Sementara itu Pengarah Urusan dan Pakar Psikologi Kanak-kanak CPC International Dr Noor Aishah Rosli berkata masyarakat harus berhenti daripada menghakimi golongan yang mempunyai tingkah laku berbeza dan belajar memahami keperluan insan istimewa ini.

“Paling penting untuk kita tunjukkan empati agar kita dapat berinteraksi atau memberikan respons bersesuaian sekiranya berhadapan dengan golongan ini.

“Pada masa yang sama jangan terburu-buru dalam membuat penilaian atau bertindak negatif apabila melihat tingkah laku yang berbeza. Sebaliknya, gunakan pemikiran yang rasional dan tenang kerana semua orang berhak untuk dihormati dan difahami,” katanya kepada Bernama.

pic-3

Noor Aishah berkata kaedah terbaik untuk membantu individu autistik yang mengalami kesulitan berinteraksi di tempat awam adalah melalui pendidikan dan latihan sosial.

“Kita sebagai ibu bapa atau ahli terapi mesti mengajar anak-anak autistik ini kemahiran sosial asas, contohnya minta izin sebelum ambil barang dan sebagainya. Amalkan terapi applied behaviour analysis (ABA) yang boleh membantu membaiki tingkah laku dengan cara berperingkat.

“Bagaimanapun tidak semua individu autistik boleh diajar melalui pendekatan ini, bergantung pada tahap autisme mereka. Bagi individu dengan autisme yang teruk, terutamanya yang tidak bercakap, mereka memerlukan penjagaan khas dengan melibatkan pembantu khas, atau jika boleh, ibu bapa yang menjaga anak tersebut secara langsung,” katanya.

Pada masa sama katanya, ibu bapa yang mempunyai anak autistik tidak perlu berasa malu atau bersalah apabila berdepan dengan masyarakat luar.

“Bawa saja anak-anak kita ke mana-mana supaya masyarakat dapat melihat dan memahami kelainan individu yang mengalami autisme ini. Kalau ada yang memandang pelik, segera jelaskan kepada mereka,” katanya.

Beliau turut menggesa kesedaran tentang autisme dipertingkatkan lagi dengan memanfaatkan semua platform yang ada bagi memahamkan masyarakat umum. 

“Jangan gunakan media sosial untuk berhibur atau membeli-belah sahaja. Kita juga perlu membaca tentang psikologi dan ambil tahu tentang autisme. Manfaatkannya kerana ia percuma,” katanya.

-- BERNAMA

 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2384035