AM

MOSTI Perkenal Inisiatif Geran STI MADANI Bagi Kawasan Parlimen

21/01/2025 02:52 PM

BANGI, 21 Jan (Bernama) -- Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) hari ini mengumumkan mengenai pemberian Geran Sains, Teknologi dan Inovasi (STI) MADANI bernilai RM10,000 kepada kawasan Parlimen tanpa mengira latar belakang politik.

Menteri berkenaan Chang Lih Kang berkata ia merupakan inisiatif julung kali diperkenalkan MOSTI dan peruntukan itu akan disalurkan menerusi Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Jabatan Perdana Menteri kepada pejabat Ahli Parlimen (MP) yang dijangkakan dalam separuh pertama tahun ini.

“Bagaimanapun, dana berkenaan tidak akan disalurkan kepada mereka yang mempunyai jawatan seperti Menteri, Timbalan Menteri atau Menteri Besar (kerana mereka mempunyai peruntukan lebih besar).

“Geran itu adalah bagi membantu MP melaksanakan program berkaitan STI di kawasan masing-masing, tidak kira pelajar sekolah rendah atau menengah, mahupun komuniti setempat,” katanya dalam sidang media selepas Majlis Amanat Tahun Baharu MOSTI di sini hari ini yang turut dihadiri Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Mohammad Yusof Apdal.

Chang berkata dana yang diterima itu juga akan diaudit bagi memastikan ia menepati tujuan pemberian geran, selain mahu program sedemikian mengukuhkan penyertaan masyarakat dalam bidang sains dan teknologi.

Terdahulu dalam ucapannya mengenai hala tuju MOSTI, beliau berkata pengurusan MOSTI telah bersetuju untuk mengetengahkan satu projek mega yang merentasi sektor, agensi dan bahagian dalam MOSTI.

“Dengan ini saya mengumumkan MOSTI akan menerajui ASEAN Space Economy yang menjadi program moonshot, projek mega negara. Ekonomi angkasa serantau ini bakal memacu perkembangan sektor lain seperti pertanian, komunikasi, pengangkutan dan pendidikan, selain akan membangunkan industri hiliran seperti unsur nadir bumi (REE) yang bakal menghasilkan produk seperti supermagnet,” katanya.

Chang menyatakan, dengan gabungan lokasi strategik, kepakaran teknologi, dasar kukuh dan kerjasama antarabangsa, Malaysia berada dalam kedudukan terbaik untuk menjadi peneraju ekonomi angkasa di ASEAN, iaitu pendekatan holistik itu bukan sahaja memberikan manfaat ekonomi, tetapi juga menyumbang kepada kemajuan teknologi dan pembangunan mampan di rantau ini.

Beliau menekankan pemetaan komprehensif projek moonshot itu perlu diperincikan untuk mengetahui keperluan sebenar sumber yang diperlukan.

“Gabungan inisiatif ini jika dapat direalisasikan mampu menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara yang menarik bagi pelaburan dalam dan luar negara, menjadikan STI tunggak dalam pembangunan nasional, seterusnya mencipta keseimbangan dalam pertumbuhan ekonomi mampan dan pembentukan masyarakat yang progresif,” katanya.

Beliau berkata MOSTI akan terus memainkan peranan sebagai kolaborator utama dalam memajukan teknologi dan inovasi dengan tumpuan diberikan kepada sektor strategik yang dapat memperkukuhkan ekonomi negara.

Antara sektor utama yang akan diberikan perhatian ialah REE, kecerdasan buatan (AI) dan teknologi hijau, bertujuan untuk menarik pelaburan antarabangsa serta mengembangkan teknologi mampan yang dapat menangani cabaran global seperti perubahan iklim dan keterjaminan makanan.

Selain itu, MOSTI juga komited untuk memastikan inovasi memberi manfaat langsung kepada rakyat, terutama melalui pelaksanaan inisiatif seperti Kampung Angkat MADANI yang bertujuan membawa penyelesaian teknologi ke kawasan luar bandar.

Pada masa sama, kementerian akan mengukuhkan strategi komunikasi bagi meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai kepentingan STI dalam kehidupan seharian.

Menyentuh mengenai aspek tadbir urus, Chang berkata beliau telah meminta Ketua Setiausaha MOSTI Datuk Dr Aminuddin Hassim untuk mengadakan taklimat setiap enam bulan mengenai pelaksanaan semua pelan hala tuju MOSTI.

“Manakala projek khusus berimpak tinggi seperti Mobile Hydrogen Refueling Station (MHRS), Satelit Remote Sensing dan pembangunan vaksin perlu dilaporkan perkembangannya setiap tiga bulan,” katanya.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2385058