KUALA LUMPUR, 21 Jan (Bernama) -- Sebagai sebuah negara maritim dengan garis pantai sepanjang 4,600 kilometer, Malaysia mempunyai potensi besar untuk menjadi peneraju utama dalam sektor pembinaan kapal, pembaikan kapal dan teknologi marin, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Menerusi hantaran di Facebook Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Jawatankuasa Majlis Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) Negara berkata bidang itu memerlukan peningkatan agenda TVET, bagi melahirkan tenaga kerja mahir yang mampu memenuhi permintaan industri serta menyokong pembangunan infrastruktur maritim negara.
“Pendekatan ini juga akan membuka lebih banyak peluang pekerjaan bernilai tinggi serta memperkukuh peranan Malaysia dalam industri maritim serantau.
“Insya-Allah, kita akan usaha untuk merealisasikannya,” katanya.
-- BERNAMA