AM

SSPA: Kerajaan Komited Pastikan Tiada Mana-mana Skim Sektor Awam Dipinggirkan

21/01/2025 03:42 PM

PUTRAJAYA, 21 Jan (Bernama) -- Kerajaan komited memastikan tiada mana-mana skim dalam sektor awam dipinggirkan dengan memberi perhatian serius terhadap sebarang pandangan dan ulasan yang membina untuk penambahbaikan agar semua perjawatan mendapat manfaat daripada Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA).

Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA) Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz dalam kenyataan hari ini berkata ia sejajar dengan semangat SSPA untuk mengangkat agenda reformasi perkhidmatan awam dalam Malaysia MADANI.

Beliau berkata langkah itu demi mencapai tiga ikhtiar penting, iaitu meningkatkan kadar produktiviti dan kecekapan perkhidmatan awam, kesediaan pegawai awam dalam melaksanakan perubahan sekali gus merancakkan daya saing negara.

Oleh itu, Wan Ahmad Dahlan berkata Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) hari ini telah mengadakan Mesyuarat Kerja Pasca-SSPA Fasa 1 bersama-sama dengan pengurus sumber manusia kementerian, jabatan Persekutuan dan Pejabat Setiausaha kerajaan negeri bagi mendapatkan pandangan dan maklum balas susulan daripada pelaksanaan SSPA berkuat kuasa 1 Dis 2024.

Beliau berkata pelaksanaan berterusan maklum balas yang diperoleh daripada kementerian, jabatan Persekutuan dan pejabat setiausaha kerajaan negeri, telah memberi peluang kepada JPA untuk meneliti dan memberi perhatian terhadap isu-isu berkait dengan pengurusan perubahan di sektor awam.

"Penganjuran mesyuarat kali ini juga memberi pertimbangan sewajarnya terhadap isu-isu pengurusan sumber manusia setelah pelaksanaan Fasa 1 SSPA.

"Ia juga memfokuskan hasil dapatan 'Sesi Penandaarasan Kajian SSPA' yang turut merujuk aspek amalan terbaik perkhidmatan awam di kebanyakan negara lain," katanya.

Beliau berkata ia bagi mengiktiraf ekosistem pembangunan perjawatan yang lebih komprehensif demi menjamin modal insan ke arah pendigitalan dan teknikal dalam perkhidmatan, khususnya pendedahan kepada pegawai awam muda.

Dalam perkembangan lain, JPA turut mengadakan sesi klinik dan bertemu sua bagi setiap Jawatankuasa Kecil Kerja dengan memberi ruang dan kefahaman kepada semua pegawai sumber manusia kementerian, Jabatan Persekutuan dan Pejabat Setiausaha kerajaan negeri dengan mengajukan pertanyaan berhubung pelaksanaan SSPA Fasa 1.

-- BERNAMA 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2385087