KUALA LUMPUR, 21 Jan (Bernama) -- Kejayaan Mohd Fadhil Zonis menjuarai siri kedua Siri Trek ASEAN (Piala Presiden) meyakinkan Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) bahawa Malaysia bakal mempunyai dua pelumba keirin hebat.
Presiden PKBM Datuk Amarjit Singh meluahkan rasa bangga dan terharu atas kejayaan cemerlang Mohd Fadhil yang berjaya menamatkan kemarau empat tahun tanpa sebarang kejuaraan dalam acara keirin.
Amarjit yang juga Ahli Jawatankuasa Eksekutif Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) optimis Malaysia berada di landasan tepat untuk kembali memiliki dua pelumba keirin yang mampu mencipta kejayaan di pentas antarabangsa pada bila-bila masa.
“Sebelum ini Malaysia ada Josiah (Ng) dan Datuk Mohd Azizulhasni (Awang). Mereka berjaya di Sukan Olimpik 2004 di Athens, Sukan Olimpik 2016 di Rio (De Janeiro) dan Sukan Olimpik 2020 (Tokyo, Jepun).
“Selepas itu, kombinasi kuat Malaysia diteruskan dengan Datuk Azizulhasni dan Mohd Shah Firdaus (Sahrom). Mereka cipta banyak kejayaan ketika berlumba bersama. Shah juga melangkah ke final acara keirin di Sukan Olimpik 2024 di Paris (Perancis).
“Jadi, selepas Datuk Azizulhasni ‘bersara’, saya mencari-cari kombinasi terbaharu. Dengan kejayaan terbaru dicipta oleh Mohd Fadhil, saya yakin Malaysia akan kembali memiliki dua pelumba keirin yang hebat,” katanya menerusi kenyataan PKBM hari ini.
Amarjit yang juga Naib Presiden Konfederasi Berbasikal Asia (ACC) turut memuji persembahan Nurul Izzah Izati Mohd Asri pada siri pertama dan kedua Siri Trek ASEAN (Piala Presiden).
“Begitu juga dengan Nurul Izzah Izati. Sekalipun beliau tidak dapat memberikan kejayaan berganda kepada PKBM, namun saya puji kesungguhannya. Beliau muncul juara pada siri 1 dan berjaya meraih pingat perak pada siri 2.
“Namun, kita nampak ada sinar baharu juga dalam kem wanita negara. Nur Alyssa (Mohd Farid) berjaya menyaingi Nurul Izzah Izati dan pelumba Korea (Kim Haeun),” katanya.
Pada masa sama, Amarjit yang juga Setiausaha Agung Persekutuan Berbasikal ASEAN (ACF) turut memuji sikap pelumba negara kerana berani menyahut cabarannya menjadikan kejohanan yang baru berakhir sebagai medan memburu mata ditawarkan dalam kalendar UCI.
Beliau berharap kejayaan itu akan diteruskan pada Kejohanan Lumba Basikal Asia 2025 (ACC 2025) yang akan diadakan di Velodrom Nasional di Bandar Baru Nilai, Negeri Sembilan pada 21-27 Feb ini.
-- BERNAMA