JENAYAH & MAHKAMAH

Imigresen Tahan 70 Warga Asing Dalam Op Serkap Di Pasir Puteh

21/01/2025 09:09 PM

KOTA BHARU, 21 Jan (Bernama) -- Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Kelantan menahan 70 warga asing dalam Op Serkap di Kampung Telosan, Pasir Puteh pada 9 pagi semalam.

Pengarah JIM Negeri Mohamed Yusoff Khan Mohd Hassan berkata pihaknya bertindak hasil risikan daripada Bahagian Penguatkuasa jabatan itu.

"Pemeriksaan dijalankan terhadap warga asing di sebuah rumah dan mendapati seorang lelaki warga Myanmar disyaki melakukan kesalahan di bawah Seksyen 26 A Akta Antipemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran 2007 dan di bawah Seksyen 55E Akta Imigresen 1959/63.

"Turut ditahan 15 lelaki, 21 perempuan, 14 kanak-kanak lelaki dan 17 kanak-kanak perempuan warga Myanmar serta dua lelaki warga Bangladesh," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata kesemua mereka dipercayai telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 6 (1) (c) Akta Imigresen 1959/63.

Mohamed Yusoff Khan berkata mereka yang ditahan berumur lingkungan 21 hingga 55 tahun manakala kanak-kanak pula berusia antara tiga hingga 17 tahun.

"Kesemua warga asing dihantar ke Depot Imigresen Tanah Merah untuk tindakan lanjut," katanya.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2385259