Oleh Marfika Adnan Haris Fadzilah
KUALA LUMPUR, 23 Jan (Bernama) -- Tidak ramai yang percaya permainan video mampu menjana pendapatan lumayan kerana sering kali dimomokkan sebagai aktiviti membuang masa serta tidak berfaedah.
Namun persepsi sinikal ini mula berubah sejak “kelahiran” tokoh sukan elektronik Muhammad Faris Zakaria, yang membuka mata ramai pihak, khususnya ibu bapa, akan potensi permainan video dalam e-sukan dengan kemuncaknya pada 2020 apabila dia digelar “Maharaja”.
Merekodkan pelbagai pencapaian mengharumkan nama negara termasuk pingat gangsa pada Sukan SEA Manila 2019, kini perjalanan hidup anak kelahiran Seremban, Negeri Sembilan yang lebih dikenali sebagai Soloz ini bakal diselami ramai peminatnya menerusi filem Soloz: Game Of Life.
Mula ditayangkan hari ini di pawagam seluruh negara, hasil sentuhan pengarah terkenal dengan genre prolifik, Syafiq Yusof akan membawa penonton meneroka pengalaman Soloz menempuh pelbagai cabaran sebelum bergelar pemain e-sukan profesional dan melakar kejayaan dalam permainan video, Mobile Legends Bang-Bang (MLBB).
Tidak sabar menanti respons orang ramai terhadap filem pertama seumpamanya ini di Malaysia, , Muhammad Faris,32, berharap naskhah itu dapat memberi pencerahan kepada ibu bapa selain inspirasi kepada generasi muda agar tidak mengabaikan pelajaran apabila terlibat dalam permainan e-sukan.
pic-2
"Semasa zaman saya mula bermain 'game', penerimaan mereka (ibu bapa) sangat susah tetapi sekarang sudah berbeza ditambah lagi dengan kemunculan filem ini.
“Mungkin ia (filem) boleh membuka minda ibu bapa dan diharap mereka yang mahu menasihati anak-anak, jangan terlalu keras sangat kerana khuatir anak-anak jadi stres seperti Irfan (watak di dalam filem yang membuang keluarganya)," katanya kepada Bernama.
Beliau yang ditemui selepas Majlis Gala Premier Filem Soloz: Game Of Life baru-baru in,i berkata menerusi filem itu, atlet e-sukan ini tidak sekadar mengharapkan perspektif ibu bapa terhadap permainan video berubah tetapi juga mahukan generasi muda yang ingin menjadi sepertinya tidak mengabaikan pelajaran.
Berjaya membuktikan ‘gamers’ (atlet e-sukan) juga mampu menggenggam segulung diploma, Muhammad Faris tidak mahu ada generasi muda mengambil mudah keputusan untuk berhenti belajar sepertimana beberapa rakannya, hanya kerana ingin memberi fokus kepada kerjaya itu.
“(Berhenti belajar) ia merugikan. Saya takut saya jadi asbab generasi muda hari ini tidak mahu menyambung pelajaran. Oleh itu, menerusi filem ini (Soloz: Game Of Life), sedikit-sebanyak mereka dapat menyaksikan yang saya juga sambung belajar.
pic-3
“Selain saya juga mendengar pendapat keluarga sebelum membuat apa-apa keputusan (menjadi gamers). Jadi, apa yang kita mahu sampaikan untuk generasi akan datang, adalah boleh bermain ‘game’, (tetapi) pelajaran dan keluarga tetap menjadi keutamaan,” kata bekas pemain MLBB terkemuka negara ini.
Sementara itu, Syafiq berkata karakter Soloz yang berjaya mengubah persepsi masyarakat terhadap permainan video, menarik minatnya untuk mengadaptasi kisah ikon e-sukan itu menjadi sebuah filem.
“Apabila dapat tawaran buat filem ini (elemen e-sukan), saya terfikir, bolehkah saya cari satu perkara atau topik yang dirasakan menarik untuk dijadikan filem. Apabila buat kajian dengan komuniti Mobile Legends, bagi saya yang paling menarik ialah karakter Soloz.
"Dia macam ubah persepsi dan tunjukkan bagaimana seseorang ‘gamer’ itu boleh menjalani satu kehidupan sebagai manusia (seimbang dalam semua perkara termasuk pelajaran dan agama). Bagi saya, itu sangat menarik dan perlu ditonjolkan dalam filem,” jelasnya.
Syafiq yang merupakan anak kepada pengarah terkenal dan pemilik empayar Skop Productions, Datuk Yusof Haslam, berharap setiap lapisan masyarakat yang menonton naskhah itu akan dapat mempelajari sesuatu, terutamanya dari segi moral dan kasih sayang.
"Cerita seperti ini patut wujud untuk 'gamers' di Malaysia, bagi ibu bapa di negara ini dan untuk semua lapisan masyarakat sebab filem ini meliputi semua aspek dalam kehidupan 'gamers’,” katanya.
Soloz: Game of Life, mengisahkan persaingan sengit antara The Boss dengan pasukan dari Singapura, Vengeance yang mengajar Soloz dan rakan sepasukan nilai persahabatan, semangat kesukanan dan persaingan sihat yang menjadi asas kejayaan.
Menampilkan barisan pelakon yang hebat antaranya Hun Haqeem yang diberikan tanggungjawab menggalas watak Soloz, dibantu pelakon lain iaitu Ikmal Amry, Noki K-Clique, Jaa Suzuran, Hafeez Mikail, Imran Aqil, Syafie Naswip, Nia Atasha, Ezra Kairo, Fauzi Nawawi, Lisdawati dan Arash Mohamad.
-- BERNAMA