JENAYAH & MAHKAMAH

Penghantar 13 Ekor Lembu Seludup Ditahan Di Tumpat

25/01/2025 10:18 AM

KOTA BHARU, 25 Jan (Bernama) -- Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Tenggara merampas sebanyak 13 ekor lembu seberat 8,450 kilogram yang dianggarkan bernilai RM126,750 di Kampung Bunohan, Tumpat pada Khamis lepas.

Komander PGA Briged Tenggara Datuk Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid berkata rampasan itu dilakukan selepas anggota PGA menahan sebuah lori jenis Isuzu yang dipandu seorang lelaki tempatan berumur 38 tahun. 

Beliau berkata lori itu dilihat memandu dalam keadaan mencurigakan semasa menjalankan tugas Op Taring Wawasan Kelantan di kawasan berkenaan.

“Hasil pemeriksaan di bahagian belakang lori, sebanyak 13 ekor lembu ditemukan tanpa dokumen yang sah. Lembu-lembu ini dipercayai diseludup dari Thailand,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata suspek dipercayai bertindak sebagai penghantar lembu terbabit ke pasaran tempatan dan kes disiasat di bawah Seksyen 36(1) Akta Binatang 1953.

"Suspek serta barang rampasan telah diserahkan ke Balai Polis Chabang Empat, Tumpat untuk tindakan lanjut.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2386517