Oleh Mohd Noor Iqram Rosli
KUALA KRAI, 26 Jan (Bernama) -- Kuih bakul dihasilkan Lee Le Kim atau lebih dikenali sebagai Mek Ah Chai, menyimpan sebuah kisah lama yang terus berpanjangan sepertimana tradisi yang sudah hampir empat dekad tersemat dalam setiap langkahnya.
Pada usia 75 tahun, wanita ini masih gigih menjaga warisan turun-temurun, menghasilkan kuih bakul dengan penuh kasih sayang dan ketekunan.
Mek Ah Chai mula mengenali dunia kuih bakul pada usia 15 tahun, ketika kali pertama belajar daripada orang tuanya. Pada masa itu, dia tidak hanya belajar membuat kuih tetapi juga menghargai setiap proses yang perlu dilalui untuk menghasilkan kuih yang sempurna.
“Membuat kuih bakul memerlukan kekuatan dan ketekunan. Saya menguli tepung beras dan gula hampir dua jam untuk memastikan setiap bahan bercampur sempurna. Itulah rahsia untuk menghasilkan kuih bakul yang kenyal dan enak.
"Proses membuat kuih bakul tidak semudah disangka. Setelah adunan siap, ia perlu dikukus selama 13 hingga 15 jam untuk mendapatkan kelembutan dan rasa yang sempurna," kata Mek Ah Chai ketika ditemui Bernama baru-baru ini.
Bagi dirinya kuih bakul ini bukan sekadar makanan tetapi sebuah dedikasi yang menghubungkannya dengan sejarah dan budaya masyarakat Tionghua.
“Setiap kuih bakul yang saya buat adalah penghargaan kepada warisan yang telah diwarisi daripada generasi ke generasi.
"Tahun ini, harga kuih bakul yang dijual ialah RM18 sekilogram, sedikit lebih tinggi berbanding tahun lepas yang dijual pada RM17. Walaupun ada kenaikan harga, permintaan tetap tinggi," katanya.
Mek Ah Chai berkata kuih bakulnya bukan hanya disukai masyarakat Tionghua tetapi juga oleh masyarakat Melayu.
“Kuih bakul saya bukan hanya untuk satu kaum tetapi untuk semua. Setiap tahun saya mendapat pesanan dari pelbagai negeri termasuk Johor, Terengganu, dan Kedah. Saya sangat berterima kasih kerana ramai suka dengan kuih bakul saya,” katanya.
Walaupun kini dibantu oleh tujuh pekerja, Mek Ah Chai tetap memastikan setiap kuih bakul yang dihasilkan memerlukan kesabaran dan ketelitian yang tinggi.
“Setiap kuih bakul yang dihasilkan adalah hasil tangan saya, dan saya mahu ia terus hidup dan memberi kenangan manis kepada sesiapa yang menikmatinya,” katanya.
Kuih bakul Mek Ah Chai bukan hanya menjadi sajian perayaan tetapi juga simbol kesabaran, dedikasi, dan penghormatan terhadap tradisi yang sudah menjangkau usia berdekad lamanya.
-- BERNAMA