JENAYAH & MAHKAMAH

Maritim Gagalkan Cubaan Seludup Dadah Bernilai RM360,000

26/01/2025 12:55 PM

PONTIAN, 26 Jan (Bernama) -- Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Johor menggagalkan cubaan menyeludup dadah bernilai RM360,000 di muara Sungai Rambah dekat sini semalam.

Pemangku Pengarahnya Kepten Maritim Kama Azri Kamil berkata cubaan membawa keluar dadah berkenaan ke negara jiran berjaya digagalkan sepasukan bot ronda yang sedang menjalankan operasi penguatkuasaan.

“Ketika melakukan operasi, pasukan terbabit mengesan sebuah bot fiber berwarna biru dalam keadaan mencurigakan pada 1.15 pagi di kedudukan 0.5 batu nautika di muara Sungai Rambah sebelum melarikan diri.

“Menyedari kehadiran bot Maritim, bot fiber itu menuju ke perairan cetek dan kelihatan seorang suspek melarikan diri ke dalam kawasan paya bakau serta meninggalkan bot fiber berkenaan.

“Hasil pemeriksaan lanjut, pihak maritim menjumpai beg galas hitam mengandungi lima bungkusan dadah seberat lima kilogram (kg) disyaki syabu serta bungkusan pil seberat 1.2 kg disyaki pil ekstasi dianggar bernilai RM360,000,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata turut ditemukan sebuah telefon bimbit dan plastik bungkusan teh dipercayai digunakan untuk membungkus dadah. 

Bot fiber berserta enjin dan dadah telah dirampas dan dibawa ke Jeti Maritim Malaysia Sungai Pulai di sini untuk siasatan lanjut dan kes disiasat di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2386751